Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan meminta Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mempertimbangkan cadangan melanjutkan tempoh pembaharuan cukai jalan kenderaan secara automatik.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, ia bagi mengelakkan rakyat berdepan pelbagai kesulitan akibat kekurangan stok pelekat cukai jalan.

Jelas beliau, MOT perlu membenarkan lanjutan itu sekurang-kurangnya selama enam bulan sekiranya pihak kementerian masih tidak dapat membekalkan pelekat cukai jalan.

“Rakyat mempunyai inisiatif untuk membayar dan memperbaharui cukai jalan sebelum sampai tempoh tamat namun mereka diberitahu mengenai kekurangan stok pelekat cukai jalan.

“Akibatnya mereka terpaksa menunggu selama dua bulan bagi mendapat pelekat cukai jalan yang baharu.

“Adalah tidak adil sekiranya rakyat dihukum bukan mereka enggan memperbaharui cukai jalan kenderaan tetapi disebabkan pihak berkuasa kehabisan stok pelekat cukai,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Tong Keong, pihaknya turut menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa mereka dikenakan saman oleh pihak berkuasa meskipun menunjukkan bukti resit sudah memperbaharui cukai jalan.

“Sehubungan itu, kita menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM untuk mencapai suatu persefahaman yang konsisten dalam tempoh penukaran sistem baharu atau sistem lama ini dengan menerima resit pembayaran cukai jalan sebagai bukti pembaharuan cukai jalan kenderaan.

“Selain itu, MOT juga perlu menyiasat serta menukar pembekal pelekat cukai jalan sekiranya perlu, ini susulan mereka gagal membekalkan stok yang mencukupi untuk kerajaan hingga membebankan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette