Mustapha Sakmud
Mustapha Sakmud

KUALA LUMPUR – Sektor perladangan boleh memperkenalkan waktu kerja fleksibel bagi menarik minat golongan muda bekerja dengan mereka.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pekerjaan sepenuh masa di ladang mungkin agak membosankan bagi golongan berkenaan.

Beliau memberitahu, cadangan tersebut adalah seperti yang dilaksanakan dalam sektor minyak dan gas ketika ini.

“Ini sedang dikaji di peringkat praktikaliti oleh kementerian supaya kita dapat mengajak anak-anak muda bekerja di ladang.

“Ia juga untuk memastikan kita tidak bergantung kepada pekerja asing,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) dalam sesi soal jawab Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail bertanya mengenai kaedah yang boleh digunakan untuk menarik minat rakyat tempatan bekerja di ladang serta sektor kotor, bahaya dan sukar (3D).

Mustapha menambah, kerajaan juga sedang mengkaji cadangan untuk mensijilkan kemahiran bekerja di ladang di bawah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kementeriannya menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia sedang mengkaji semula syarat dan had pinjaman Skim Khas Pembiayaan Rumah Pekerja Estet (SKRE).

Mustapha menjelaskan, ia bagi membolehkan lebih ramai pekerjaan ladang layak memohon kemudahan tersebut.

Menurut beliau, SKRE yang diperkenalkan sejak Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dengan dana pusingan RM50 juta kurang mendapat sambutan di mana hanya 319 pekerja ladang menyertainya dengan nilai pembiayaan RM26.4 juta setakat 31 Ogos lalu.

“Beberapa punca atau kekangan dikenal pasti menajdi penyebab pekerja ladang kurang menyertai skim ini adalah kekurangan tawaran perumahan kos rendah dan lokasi perumahan yang agak jauh dari tempat kerja mereka.

“Kekangan dari segi keupayaan kewangan juga tidak membolehkan permohonan mereka diluluskan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai isu tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast