Shahidan Syed Saddiq hijrah UMNO kuat veteran pengampunan BN PH PRN
Mustapha Yaakub

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO menyifatkan kenyataan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan rakyat Palestin sebagai tindakan yang berani.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, ketegasan dan keberanian Anwar serta rakyat Malaysia akan mengundang kemarahan sekutu-sekutu Israel.

Namun, menurut beliau, Veteran UMNO yakin ia mampu ditangani kerana Malaysia tidak bersendirian.

“Ia didukung oleh negara-negara Islam yang lain khususnya Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN serta negara-negara lain yang bersimpati dengan Palestin.

“Veteran UMNO menyeru rakyat Malaysia supaya berdiri teguh bersama perdana menteri dalam perjuangan membela rakyat Palestin demi keamanan dan keadilan sejagat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ketika berucap dalam Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi, Anwar memberi mesej jelas dan tegas kepada kuasa besar dunia Amerika Syarikat (AS) serta negara-negara dalam Kesatuan Eropah (EU) bahawa Malaysia akan terus berdiri teguh demi rakyat Palestin yang dizalimi dan dibunuh oleh rejim Zionis Israel.

Beliau memberitahu, AS dan kalangan negara Eropah mengecam inisiatif Malaysia yang lantang bersuara di pentas dunia terhadap hak kemanusiaan rakyat Palestin yang dicabul oleh Israel di tanah Gaza.

Mustapha menambah, Veteran UMNO berbangga dan mengucapkan syabas dan tahniah kepada Perdana Menteri atas keberanian dan ketegasannya dalam isu konflik Palestine-Israel.

“Kenyataannya adalah suara hati rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan fahaman politik. Kenyataan yang berterus terang demi kemaanusiaan dan keadilan,” jelasnya.

Beliau berkata, Veteran UMNO turut tersentuh dengan sokongan tidak berbelah bahagi raja-raja Melayu kepada rakyat Palestin dan mengecam tindakan ganas dan kezaliman rejim Zionis Israel.

“Sokongan istana itu memperlengkapkan sokongan Malaysia dan rakyatnya kepada Palestin,” katanya. – MalaysiaGazette