Syahredzan Johan
Syahredzan Johan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan (PH) berkata Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) sewajarnya dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Kebebasan Maklumat.

Menurut beliau, tanpa pemansuhan OSA, Akta Kebebasan Maklumat tidak akan lengkap dan menyeluruh.

Syahredzan berpandangan, langkah itu benar-benar boleh memperkasakan rakyat dengan maklumat.

“Ini tidak bermakna saya nak mengatakan di sini bahawa semua maklumat itu boleh diakses.

“Kita akui bahawa ada maklumat yang memang harus dilindungi dan tidak boleh didedahkan kepada umum contohnya berkenaan keselamatan negara, memang ada keperluan merahsiakan maklumat tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2024 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Syahredzan juga percaya pemansuhan OSA akan menjadi titik permulaan dalam usaha menjadikan semua maklumat bebas untuk diakses.

“Melainkan ia dikategorikan dengan sebab-sebab khusus mengapa ia tidak boleh diakses oleh orang ramai,” jelasnya. – MalaysiaGazette