Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pengurus kedai emas mengalami kerugian lebih RM12,000 selepas pekerjanya melakukan pecah amanah dengan memalsukan invois dan resit untuk mengambil barang kemas milik syarikat.

Kegiatan pekerja yang telah bekerja di premis berkenaan sejak tiga tahun lalu  dikesan majikannya dan kemudian melaporkan kegiatan itu kepada pihak polis, kata Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail.

Susulan laporan yang diterima, polis telah membuat tangkapan terhadap suspek yang berusia 31 tahun pada Isnin lalu di premis tempat suspek bekerja di Taman Dagang Permai, di sini.

“Suspek yang juga jurujual di kedai emas berkenaan telah melakukan pecah amanah oleh selepas diberi kuasa oleh majikannya untuk menjual emas.

“Kes disasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 14 tahun dan sebatan serta dikenakan denda.

Mohd Azam berkata, suspek kini direman selama empat hari sejak semalam untuk siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya. – MalaysiaGazette