Mageswari.

GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) meluahkan rasa kecewa dengan keputusan Kerajaan Perpaduan yang bertindak melanjutkan syarat lesen operasi Lynas sehingga Mac 2026.

Setiausaha Kehormat SAM, S. Mageswari berkata, pihaknya keliru dengan ‘pusingan U’ dibuat kerajaan sedangkan mereka yang sebelum ini mengambil berat tentang komponen radioaktif dalam aktiviti syarikat Lynas.

“Berdasarkan kenyataan media Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang pembalikan keputusan bahawa aktiviti Cracking & Leaching (C&L) syarikat akan diteruskan tertakluk kepada syarat Lynas hendaklah memastikan kandungan radioaktif dalam residu Water Leach Purification (WLP) di bawah 1 Bq/g melalui program R&D yang diterajui oleh pakar tempatan.

“Paras semasa komponen radioaktif adalah pada 6-7 Bq/g dan bagaimana pakar tempatan akan menurunkan ini ke paras di bawah 1 Bq/g adalah menjadi persoalan.

“Sehubungan itu, kerajaan perlu lebih bertanggungjawab dan telus dalam hal itu selain mesti menjelaskan mengapa perubahan ini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Tambah Mageswari, keputusan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) dilihat berdasarkan penemuan kajian awal di peringkat makmal yang menunjukkan bahan radioaktif daripada thorium boleh diekstrak keluar daripada residu WLP sehingga residu ini boleh dilepaskan daripada kawalan perundangan di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).

“Namun tiada penjelasan juga diberi mengenai bagaimana tahap radioaktif akan diturunkan. Adakah kajian tempatan ini termasuk penyelidikan CondiSoil yang sudah ditolak sebelum ini atau percubaan makmal lain yang belum terbukti kerana orang ramai memerlukan ketelusan dan kementerian perlu menjelaskan butiran penyelidikan.

“Pembalikan keputusan kerajaan berdasarkan kajian awal itu sama sekali tidak meyakinkan atau memberi jaminan daripada segi kesihatan awam dan perlindungan alam sekitar.

“SAM menyeru kerajaan supaya lebih telus dan membuat pendedahan awam tentang kajian berkenaan beserta butiran penyelidikannya,” katanya.

Mengulas lanjut Mageswari berkata, pihaknya mengulangi gesaan ini supaya pendedahan awam kajian awal dilakukan dengan segera.

“Ia jelas daripada orientasi kerajaan bagi menjana wang daripada industri nadir bumi tetapi ini tidak harus menjejaskan kesihatan rakyat dan alam sekitar,” katanya.

Media tempatan semalam melaporkan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) mengemas kini syarat operasi Lynas yang sedang berkuat kuasa, meliputi kebenaran mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi (NORM) sehingga tamat tempoh sah lesen pada Mac 2026.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang menerusi kenyataan berkata, pertimbangan yang dibuat pada Isnin (23 Oktober) itu turut membenarkan aktiviti keretakan atau larut lesap (C&L) diteruskan tertakluk kepada syarat tertentu. – MalaysiaGazette