Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KUALA LUMPUR – Institusi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bukan sekadar simbolik semata-mata, sebaliknya ia adalah pelindung kepada amalan demokrasi, tiang seri kepada keamanan dan nadi kepada perpaduan negara.

YDPA, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, ia mempunyai roh dan semangat sebagai instrumen semak dan imbang terakhir negara yang berupaya menggunakan budi bicara untuk menzahirkan kata putus tatkala negara menemui jalan buntu.

“Manakala pada hemat Paduka Adinda Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu pula secara kolektif adalah merupakan payung yang melindungi rakyat jelata serta benteng kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara.

“Kekuatan yang mengalir dalam tubuh Seri Padulka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah cerminan kepada daulat sekalian Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu,” katanya dalam titah perutusan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262, hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Timbalan YDPA, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas kesudian menjalankan tugas-tugas YDPA semasa ketiadaan baginda di tanah air dan semasa baginda tidak dapat menjalankan tugas atas faktor kesihatan.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda berasa amat bertuah dan bersyukur kerana setelah 44 tahun selaku Tengku Mahkota Pahang dan setelah 15 hari dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang, baginda diangkat untuk bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia.

Baginda akan menamatkan pemerintahan sebagai YDPA selama lima tahun pada 30 Januari depan.

Menurut Al-Sultan Abdullah, sepanjang menjadi YDPA, baginda menempuh pelbagai peristiwa termasuk kemelut politik tanah air.

“Terpahat dalam lipatan sejarah negara bahawa Paduka Adinda adalah merupakan satu-satunya yang di-Pertuan Agong yang telah diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang Perdana Menteri bersama empat Jemaah Menteri.

“Begitu juga setelah negara menghadapi Pilihan Raya Umum yang ke-15, buat pertama kalinya dalam sejarah demokrasi Malaysia, negara berhadapan dengan situasi Parlimen tergantung.

“Dalam apa juga situasi, Paduka Adinda telah memberi ruang kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mencapai satu kesepakatan atas prinsip perpaduan demi untuk masa hadapan negara,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah, tugas melantik tiga Perdana Menteri dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat telah disempurnakan selaras dengan kuasa budi bicara yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut baginda, tempoh pemerintahannya turut diselubungi penularan pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat sehingga proklamasi darurat terpaksa diisytiharkan dan negara terpaksa menempuh perintah kawalan pergeran.

Namun demikian, titahnya, sama ada ketika berdepan kemelut politik atau pandemik Covid-19 dan sepanjang baginda memerintah negara, Al-Sultan Abdullah sentiasa menjunjung sumpah yang telah dilafazkan iaitu memerintah negara secara adil menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Titah baginda, berkat daulat dan sokongan daripada Raja-Raja Melayu, pelbagai peristiwa dan dugaan yang melanda negara dapat diatasi sepanjang tempoh lima tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast