ALOR SETAR – Polis membuka dua kertas siasatan terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang memandu kereta dan menyebabkan seorang wanita maut di Jalan Kuala Kedah, Ahad lepas.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kes kemalangan maut itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan satu kertas siasatan lagi dibuka di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan setelah remaja itu disyaki menjadi mangsa rogol.
“Remaja itu mengakui pernah melakukan hubungan seks dengan dua lelaki sebelum ini dan polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai rogol berikutan remaja terbabit masih bawah umur.
“Seorang daripada lelaki itu telah ditahan semalam, manakala seorang lagi masih dikesan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dalam kejadian 7.05 petang itu, Nur Shafiqah Abdullah, 32, maut setelah motosikal dinaiki bersama kakaknya, Nooraliza, 43, dirempuh kereta jenis Proton Satria dipandu seorang remaja perempuan.
Fisol berkata, ujian saringan air kencing terhadap remaja berkenaan didapati negatif dan dia kini diletakkan di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, polis turut memanggil ibunya bagi menjalankan siasatan terhadap kes kemalangan dan pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berkaitan kemalangan itu sebelum diserahkan kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Fisol berkata, setakat ini pihaknya telah menerima lebih 140 laporan kes rogol membabitkan remaja bawah umur di Kedah.
“Apabila siasatan dijalankan, didapati hubungan yang berlaku itu kebanyakannya adalah secara suka sama suka, tapi disebabkan melibatkan remaja bawah umur, maka kes diklasifikasikan sebagai rogol,” katanya. – Bernama