MELAKA – Mahkamah Pilihan Raya Melaka hari ini mengekalkan kemenangan Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Abu Bakar Katar yang menolak petisyen difailkan bekas calon Barisan Nasional (BN) kerusi itu, Abdul Hakim Abdul Wahid untuk membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15 oleh responden (Mas Ermieyati) atau ejennya.
Menurutnya, ia selepas mahkamah meneliti dan menghalusi nota keterangan sepanjang 13 hari perbicaraan dan menimbangkan secara mendalam penghujahan bertulis yang difailkan oleh kedua-dua belah pihak.
“Pempetisyen bergantung kepada dua alasan utama dalam petisyen bagi membatalkan kemenangan responden sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah iaitu berlakunya penyogokan wang oleh ejen responden semasa hari pengundian berlangsung dan penjamuan pada 3 Disember 2022 di Markas Pas Pasir Gembur.
“Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan di atas mahkamah dengan ini berpendapat pempetisyen gagal membuktikan melampaui keraguan yang munasabah sebagaimana yang diplidkan dalam petisyen sehingga boleh membatalkan kemenangan responden.
“Mahkamah memutuskan responden telah dilapor pilih dengan sewajarnya sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah dan
akan memaklumkan keputusan ini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menurut peruntukan Seksyen 36 (2) Akta Kesalahan Pilihan Raya.
“Mahkamah dengan ini menolak petisyen dengan kos RM50,000 kepada pempetisyen yang perlu di bayar kepada responden,” katanya dalam hujah penghakimannya di Kompleks Mahkamah Melaka di sini hari ini.
Sementara itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengetuai barisan peguam Mas Ermieyati berkata, keputusan itu membuktikan petisyen yang dikemukakan tidak berasas.
Sepanjang proses perbicaraan, seramai 28 saksi telah dipanggil dan pada awalnya telah meminta pempetisyen membayar kos sebanyak RM150,000 namun terima apabila Yang Arif Hakim memberikan kos RM50,000, katanya.
Abdul Hakim diwakili barisan peguam diketuai Datuk Mohd Hafarizam Harun turut hadir selepas keputusan itu di luar mahkamah.
Sementara itu, Mas Ermieyati menyifatkan keputusan itu sebagai sebagai satu kemenangan yang mengharukan.
“Ini sebenarnya adalah satu kemenangan yang mengharukan dan terima kasih kepada keluarga, sahabat, peguam dan kepimpinan (parti). Dengan kemenangan ini insya-Allah kita akan lebih bersemangat berhadapan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman,” katanya.
Pada 3 Januari lalu, Abdul Hakim memfailkan petisyen itu di Mahkamah Pilihan Raya Melaka bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) atas dakwaan berlaku sogokan wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU-15 lalu.
Mas Ermieyati bagaimanapun kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah selepas mahkamah menolak petisyen difailkan Abdul Hakim.
Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen berkenaan dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.
Pada 19 November 2022, Mas Ermieyati mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan selepas menewaskan tiga calon lain iaitu Abdul Hakim, Mutalib Uthman (MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar (PEJUANG).
Mas Ermieyati memperoleh 25,604 undi, Abdul Hakim (21,193), Mutalib (7,445) dan Handrawirawan (507) sekaligus mendapat undi majoriti 4,411 dan menjadi Ahli Parlimen Masjid Tanah bagi penggal ketiga. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: