KUALA LUMPUR – Resolusi yang bakal dicapai pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang akan diadakan nanti diharap dapat memajukan Melayu dan bumiputera dan tidak lagi mengulangi kegagalan yang sama.

Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Norsyahrin Hamidon berkata, kekayaan di antara kaum semakin melebar dan tiada tindakan menyeluruh serta berkesan diambil oleh pemerintah.

Beliau berkata, orang Melayu dan bumiputera amat berharap agar reformasi dapat dilakukan dan diterjemah supaya agenda kemakmuran bumiputera dapat dilaksana dalam waktu terdekat.

Ini kerana, katanya, pencapaian kemakmuran yang disasarkan telah diinjak-injak dengan pelbagai kekangan seperti tempoh masa perlaksanaan yang terlalu lama, budaya suapan serta rasuah dan perniagaan ali baba atas nama Melayu dan bumiputera masih berterusan walaupun masyarakat Melayu telah menegur.

Namun, katanya, naratif Ekonomi Madani yang memperjuangkan faedah dan kepentingan setiap warga Malaysia merupakan usaha positif terutamanya tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam penstrukturan semula komponen ekonomi dalam memberi kesaksamaan peluang dan ruang dalam mengisi struktur ekonomi baharu yang sedang diusahakan dengan nilai-nilai Madani.

“Dalam menterjemahkan perlaksanaan Ekonomi Madani, kami merasakan penekanan kepada gerak kerja kesatuan Melayu dan Bumiputera sebagai dasar yang boleh dilaksanakan oleh pemegang taruh melalui dasar serta program-program intervensi dapat dilaksanakan segera.

“Ini supaya manfaatnya dapat dirasai oleh Melayu dan Bumiputera serta lain-lain kaum dalam tempoh kurang daripada lima tahun,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Norsyahrin berkata, reformasi dan olahan baharu dalam melaksanakan dasar-dasar yang akan dirumus pada KEB 2024 perlu digerakkan sekarang supaya aspirasi Ekonomi Madani ini agar menjadi lebih bermakna.

Terdahulu, katanya, seramai 80 peserta mewakili lebih daripada 30 pertubuhan yang  sebahagian daripadanya merupakan ahli MTEM membincangkan perkara-perkara pokok serta dasar yang perlu dibawa ke KEB 2024.

MTEM bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan Majlis Perundingan Melayu telah dijemput untuk membantu Sekretariat Induk dalam menjayakan KEB 2024.

“Rangkuman pertemuan hari ni adalah mencari titik kebersamaan serta mengenal pasti kesenjangan usaha yang telah dilaksanakan sejak perlaksanaan KEB 1965 serta merungkai semula kegagalan,” jelasnya.

KEB 2024 dijangka berlangsung pada Januari 2024 menghimpunkan pengusaha bumiputera bagi menyuntik semangat buat mereka. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast