OpsIhsan
Antara barangan yang berjaya dikumpulkan melalui #OpsIhsan.

KUALA LUMPUR – Operasi Ihsan (#OpsIhsan) berjaya mengumpulkan sebanyak 50 tan barang-barang bantuan kemanusiaan bernilai hampir RM7 juta untuk rakyat Palestin yang terkesan dengan situasi perang.

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari berkata, usaha yang dicetuskan Kementerian Luar itu digerakkan Malaysia Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) dengan kerjasama Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Red A Humanitarian Development Global, MERCY Malaysia, Pertubuhan Ihsan Johor dan BeVital sebagai koordinator utama serta 38 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

Beliau yang juga Presiden MAHAR memaklumkan, barangan tersebut disimpan di beberapa pusat pengumpulan sekitar Lembah Klang sebelum dihantar ke Pusat Operasi Utama #OpsIhsan di Gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Sepang.

“Pengurusan barang-barang sumbangan yang diterima kini di peringkat akhir untuk dimuktamadkan berdasarkan keperluan utama.

“Ia akan diterbangkan ke Al-Arish, Mesir melalui pesawat kargo sewaan khas dan dibiayai Kerajaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jismi menambah, penghantaran pertama sumbangan rakyat Malaysia dalam bentuk ubatan dan barangan keperluan sebanyak 20 tan dengan pesawat kargo melalui Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dijangka pada 3 November 2023 setelah segala perancangan dimuktamadkan.

Beliau memberitahu, barangan bantuan kemanusiaan itu seterusnya akan dibawa masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah melalui kerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.

“Gerak kerja bagi penilaian keperluan barangan bantuan dan logistik serta jaringan perhubungan dengan pihak-pihak yang berkaitan bagi memastikan penghantaran barangan ke Gaza mengikut tatacara yang betul dan prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan Mesir telah dilaksanakan oleh Datin Azura Ibrahim semasa penugasan beliau di Mesir baru-baru ini,” jelasnya.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan #OpsIhsan boleh berhubung dengan Syahrir Azfar di talian 013-2226057, e-mel [email protected] atau Amir Arafat di talian 014-9843965, emel [email protected]. – MalaysiaGazette