KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) Selangor membuat keputusan untuk tidak meneruskan petisyen terhadap keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Taman Medan, Sungai Kandis dan Dengkil.
Sebaliknya menurut pengerusinya, Datuk Seri Amirudin Shari akan membuat semakan keputusan undi di ketiga-tiga kawasan berkenaan dengan peguam PKR menerusi Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) parti.
“Petisyen bagi Gombak Setia sudah dihantar, yang lain (tiga DUN) dalam penelitian tetapi saya difahamkan pihak peguam PKR merasakan kes-kes tersebut tidak mahu diteruskan, jadi itu kita serahkan kepada Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) (parti).
“Kita akan tengok balik kenapa tempoh hari tidak dimajukan (diteruskan),” katanya ketika ditemui di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Bagaimanapun, jelas Amirudin, terdapat satu petisyen bantahan dikemukakan membabitkan DUN Gombak Setia yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN).
Sebelum ini PH negeri tersebut ingin membuat petisyen empat DUN tersebut berikutan undi yang diraih rendah.
Masing-masing DUN tersebut meraih majoriti Sungai Kandis (167); Taman Medan (30); Gombak Setia (58) dan Dengkil (407). – MalaysiaGazette