Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar hadir bagi menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Shariff Kampung Dato Ahmad Razali, Dengkil, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 27 OKTOBER 2023.

DENGKIL – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat bersama penduduk Kampung Dato’ Ahmad Razali di sini hari ini.

Beliau tiba kira-kira pukul 1.07 tengahari dengan disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta jemaah lain.

Solat yang diimamkan oleh imam jemputan dari Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya, Ustaz Mohammad Khidir Ngah itu disertai lebih 1,000 jemaah.

Anwar bersama jemaah kemudian mendengar khutbah bertajuk Dunia Sementara, Akhirat Selamanya’ yang disampaikan Imam Masjid Al-Ilmi, Muaz Ishak.

Isi khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu antara lain mengajak umat Islam untuk memanfaatkan peluang semasa hidup dengan memperbanyakkan amalan kebaikan.

Jelasnya, amalan kebaikan itu penting dibawa sebagai bekalan ke akhirat selain memohon semua jemaah agar berdoa dalam setiap waktu solat agar Allah supaya mengurniakan keamanan serta kesejahteraan kepada rakyat Palestin.

Selesai solat Jumaat, Perdana Menteri bersama jemaah turut menunaikan solat hajat dan qunut nazilah bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan umat Islam di Palestin.

Beliau turut meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama jemaah yang hadir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menikmati makan tengah hari selepas menunaikan solat Jumaat di Ramli Corner Selera Kampong, Dengkil, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 27 OKTOBER 2023.

Anwar bersama kenamaan lain kemudian bergerak ke Kedai Makan Ramli Corner Selera Kampong di sini untuk menjamu selera. – MalaysiaGazette