Shahrir Abdul Samad
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyelar pendakwaan terhadapnya sebagai langkah menutup kelemahan kerajaan tidak akan menjawab tuduhan dana RM5.59 juta yang keluar masuk akaun syarikatnya.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, Wan Saiful seharusnya bersandar kepada fakta dan hujahan undang-undang dalam perbicaraan kalau hendak berjaya.

“Ada kaitan dengan Jana Wibawa pula ke? Itu pula masa kerajaan pimpinan ketua parti Wan Saiful kan?” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Semalam, Wan Saiful menyifatkan pertuduhan baharu membabitkan kesalahan pengubahan wang haram dihadapinya sebagai usaha mengalih perhatian rakyat daripada pelbagai kegagalan kerajaan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, kerajaan gagal mengawal kenaikan harga barang dan kos sara hidup, selain tidak membantu rakyat dengan cara efektif serta tiada reformasi yang kononnya diperjuangkan sebelum ini.

Beliau sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam dengan 18 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM6 juta.

Shahrir memberitahu, beliau tidak menggunakan hujah yang sama ketika didakwa oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai Wan Saiful selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sebaliknya beliau ketika itu mendakwa bahawa tuduhan terhadap saya adalah ‘novel’ atau luar biasa dan pelik.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa saya dengan tuduhan tidak mengisytiharkan pendapatan sebenar, iaitu satu kesalahan dibawah Akta Cukai Pendapatan sedangkan SPRM tidak ada kepakaran dalam soal cukai pendapatan!

“Tambahan lagi, rakan sama parti dengan Wan Saiful seperti Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Datuk Seri Mustapha Mohamed yang sama-sama mendapat dana dari Datuk Seri Najib Razak tidak pula didakwa,” jelasnya.

Shahrir berkata, daripada 80 individu dan entiti yang diberikan tawaran kompaun, hanya beliau dan Datuk Seri Ahmad Maslan yang didakwa.

“Dakwaan yang pelik dan terpilih!” katanya. – MalaysiaGazette