Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 17 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Cadangan memperkenalkan semula cukai pusaka adalah tidak praktikal dan akan membebankan rakyat.

Presiden MCA itu berkata, cukai pusaka atau ‘inheritance tax’ itu sebenarnya telah dimansukan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada sekitar 1991 selepas dikenalkan selepas kemerdekaan pada 1957.

Oleh itu, katanya, cadangan tersebut bukan sahaja akan membebankan rakyat yang tidak berkemampuan, sebaliknya juga akan menyebabkan golongan itu bertindak menjual sahaja tanah pusaka mereka.

“Saya tertarik dengan hujah perbahasan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang menyarankan supaya kita memperkenalkan semula cukai pusaka tetapi saya tidak setuju dengannya dan berpandangan rakyat juga bersama saya berhubung perihal ini.

“BN sudah mansuhkan cukai itu jadi jangan kita mencadangkan polisi yang akhirnya membebankan rakyat. Ini tidak memberi pendapatan, jika untuk tujuan lebih baik kita fokus dalam melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang adil dan berkesan,” katanya dalam video berdurasi satu 53 saat di laman Facebook beliau.

Menurut laman sesawang Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), duti harta pusaka dikenakan ke atas harta tanah yang dipusakai seseorang.

Bermula 1 November 1991, Enakmen Duti Harta Pusaka 1941 dan beberapa enakmen lain berhubung dengan Duti Harta Pusaka dimansuhkan.

Jelas Ka Siong, harta pusaka adalah sesuatu yang sudah dipindahkan secara turun temurun daripada generasi nenek moyang, datuk, ibu bapa kemudian kepada anak-anak serta cucu cicit.

Apa yang akan terjadi jika pewaris tidak berkemampuan untuk melunaskan cukai tanah pusaka yang diwarisi melalui hukum faraid bagi orang Islam, tanya beliau.

“Inilah yang menyebabkan mereka jual tanah atau rumah warisan keluarga, masalah ini dihadapi oleh golongan ini sehinggalah ia dimansuhkan pada 1991.

“Jadi jangan perkenalkan semula kerana ia tidak praktikal dan membebankan rakyat,” tegasnya.

Beliau juga memberikan contoh praktikal yang dialami oleh segelintir keluarga Cina di negara ini berkaitan harta pusaka, kesan ibu bapa memindahkan hak milik ketika mereka masih hidup sebagai tanda kasih kepada anak-anak mereka.

“Apa akan terjadi jika anak mereka mungkin meninggalkan ibu bapa dan apakah impak kepada orang tua itu? Ada juga terpaksa jual harta di sini kemudian labur di luar negara, akhirnya kita tidak ada apapun,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast