Gaza diterangi api yang menjulang-julang akibat dibom Israel sepanjang malam tadi.

GAZA CITY – Regim Israel telah menyekat perhubungan melalui telefon dan internet di Gaza.

Media antarabangsa melaporkan, Bulan Sabit Merah Palestin terputus hubungan sepenuhnya dengan bilik gerakan dan semua anggota pasukan.

Syarikat telekomunikasi Palestin Jawwal berkata, perkhidmatan telefon mudah alih dan internet telah ditutup bermula Jumaat.

Penduduk di wilayah Palestin ketika ini “panik” kerana komunikasi terputus dan pengeboman berterusan daripada Israel.

“Orang ramai sangat takut, dan mereka sangat panik – tidak dapat berkomunikasi dengan orang lain yang telah dipindahkan.

“Mereka biasa memanggil satu sama lain selepas setiap serangan udara Israel. Mereka sangat risau tentang [orang tersayang]. Mereka tidak boleh menerima panggilan telefon daripada orang untuk memaklumkan mereka tentang kemalangan atau letupan.

“Kami dapat melihat ramai membawa orang lain dalam pelukan mereka dan pergi ke hospital kerana tidak dapat berkomunikasi dengan ambulans,” lapor wartawan Al Jazeera.

Tindakan memutuskan perhubungan diambil serentak dengan serangan kejam dan berterusan tentera Zionis di wilayah Palestin melalui darat dan udara.

Israel dilaporkan mula memperluaskan operasi darat di kawasan yang kepong dan siri pengeboman besar sepanjang malam tadi di Gaza dengan cahaya dan bunyi letupan tidak berhenti-henti.- Agensi