Gambar hiasan

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertegas tidak akan mengembalikan semula peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) walaupun ada permintaan khususnya ibu bapa yang mahu ia dikembalikan sebagai penanda aras pencapaian anak-anak mereka di peringkat sekolah rendah.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata usaha KPM pada ketika ini adalah memberi tumpuan kepada Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 dalam membangunkan kurikulum persekolahan baharu demi memastikan pendidikan masa depan lebih kukuh.

“Oleh itu, saya minta supaya ibu bapa bagi tumpuan kepada jerayawara ini (Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027) kerana kita mahu libat urus yang meluas untuk (mendapatkan) input-input bagi memperkukuhkan sistem pendidikan negara.

Sekarang ini, kita nak bagi tumpuan kepada pentaksiran holistik untuk anak-anak kita khususnya untuk pembangunan mereka secara keseluruhan bagi memastikan antaranya, karakter (anak-anak) itu boleh diperkukuhkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taman Angkat Amanita Taman Pekaka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Indah, di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk memansuhkan sepenuhnya UPSR bermula 2021 selepas hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan berkenaan dibatalkan susulan pandemik COVID-19.

Dalam perkembangan berasingan, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, meminta mana-mana pihak yang mengesan berlakunya sebarang “ketirisan” dalam isu penyaluran dana sebanyak RM70,000 untuk membaiki tandas sekolah supaya membuat laporan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Laporkan sahaja kepada SPRM apa-apa (berkaitan salah guna dana untuk tandas sekolah). Kita memang buat pemantauan tapi kalau ada sebarang isu, saya minta untuk dilaporkan kepada mereka (SPRM) supaya ‘kecurangan-kecurangan’ ini dapat kita tangani di peringkat autoriti,” katanya.

Bagaimanapun, Fadhlina berkata dakwaan demikian tidak merencatkan perkembangan penyaluran dana berkenaan kerana maklum balas yang diterima daripada pihak sekolah setakat ini sangat memberangsangkan.

“Penyaluran dana ini kita akan buat secara berfasa termasuk kepada SBK (Sekolah Bantuan Kerajaan). Doakan agar kita dapat buat dari semasa ke semasa,” katanya.

Semalam Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menerusi laman Facebooknya memaklumkan beliau telah melakukan pemeriksaan mengejut ke sebuah sekolah untuk melihat hasil kerja kontraktor untuk projek baik pulih tandas.

Beliau dilaporkan berkata setiap sekolah menerima RM70,000 untuk membaik pulih tandas-tandas pelajar yang rosak namun hasil pemerhatiannya adalah amat mengecewakan kerana terdapat pelbagai isu yang dilihatnya dalam pemeriksaan tersebut dan perlu diambil tindakan segera oleh pihak kontraktor serta pihak Pejabat Pendidikan Daerah(PPD).

— BERNAMA