KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menafikan dakwaan kononnya ia mengutip dana bagi menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, pihaknya tidak pernah sesekali mengguna pakai dana orang awam mahupun meminta sebarang derma sebelum memulakan misi menyelamat mereka selama ini.
Kata Hishamuddin yang juga seorang pengamal undang-undang, kebanyakan misi menyelamat mereka akan ditaja dan dibiayai oleh individu, badan bukan kerajaan (NGO) selain kutipan daripada ahli MHO itu sendiri.
Hishamuddin yang juga seorang pengamal undang-undang berkata, kebanyakan misi menyelamat mereka akan ditaja dan dibiayai oleh individu, badan bukan kerajaan (NGO) selain kutipan daripada ahli MHO itu sendiri.
“Kita memang ada dengar tohmahan serta dakwaan tidak berasas seperti ini. Mungkin juga ada pihak yang tidak senang dengan kelantangan MHO dalam sentiasa berjuang untuk masyarakat kita jadi keluarkan dakwaan ini.
“MHO tidak akan sesekali teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada pihak tidak bertanggungjawab ini.
“Sejak tahun lalu, kita sudah aktif dalam membantu ramai rakyat Malaysia yang terperangkap di luar. Kita juga sudah bawa beberapa individu pulang dan cerita kejayaan ini sudah tersebar sebelum ada ahli keluarga mencari MHO bagi bantu mereka. Jadi hentikanlah tohmahan seumpama ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sejak kebelakangan ini MHO berjaya membawa balik mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara dengan gaji lumayan namun akhirnya terperangkap di negara seperti Laos, Kemboja dan Myanmar.
Semalam, sekali lagi MHO yang turut diterajui oleh penasihatnya iaitu bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan berjaya membawa pulang tiga bekas rakan sekerja termasuk seorang wanita hamil hampir menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Difahamkan, ketiga-tiga mangsa berusia lingkungan 20an hingga 30an itu menaiki penerbangan dari Johor Bahru ke Bangkok, Thailand pada 16 Oktober lalu, selepas terpedaya dengan tawaran pekerjaan yang diiklankan di media sosial sebagai pegawai khidmat pelanggan.
Kesemua mangsa tinggal selama beberapa hari di stor usang tersebut sebelum berjaya diselamatkan dan tidak sempat bertukar tangan kepada sindiket penipuan berkenaan. -MalaysiaGazette