SEPANG – Tindakan pantas Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berjaya menyelamatkan tiga mangsa sindiket penipuan di Myanmar termasuk seorang wanita yang hamil lima bulan daripada keguguran.
Mangsa terbabit yang hanya dikenali sebagai Sally berkata, MHO mengambil masa kira-kira tiga jam untuk menyelamatkan dia, suami dan rakan sekerjanya yang ditahan di sebuah stor usang di Taichileik, Myanmar, 17 Oktober lalu.
“Nasib baik MHO cepat, sebab sindiket di Myanmar, mereka akan paksa makan ubat untuk gugurkan, itu cara sindiket beroperasi di sana, mereka tidak akan benarkan mana-mana mangsa melahirkan anak di sana (Myanmar).
“Saya bersyukur dapat pulang ke tanah air dengan keadaan kandungan saya yang selamat sepanjang menjadi tahanan sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Dua (KLIA2), di sini, hari ini.
Terdahulu dia dan suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai John serta rakan sekerjanya, Vincent selamat tiba ke tanah air melalui Balai Ketibaan KLIA2, di sini, kira-kira jam 5.15 petang tadi.
Ketibaan mereka disambut bekas Ketua Polis Negara yang juga Pengerusi MHO, Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hisham.
Ketiga-tiga individu itu antara mangsa sindiket penipuan pekerjaan dengan tawaran gaji RM15,000 sebulan berjaya diselamatkan selepas kira-kira 10 hari terkandas di Taichileik, Myanmar sejak 16 Oktober lalu.
Sementara itu, rakan sekerjanya, Vincent ketika menceritakan detik cemas semasa diselamatkan pasukan MHO berkata, ejen sindiket yang mengurung mereka bertiga mengalami kecederaan parah semasa pergelutan.
“Berlaku sediket pergelutan, orang yang menyimpan kami telahpun cedera parah dipukul oleh beberapa individu dalam operasi tersebut.
“Kami kemudiannya telah dibawa ke balai polis di Taichileik, Myanmar dan menjadi tahanan polis sebelum diserahkan kepada NGO tempatan untuk proses membawa keluar dan seterusnya ke Bangkok,” katanya.
Ditanya tentang tawaran gaji lumayan tersebut, Vincent dan dua rakannya mengakui gelap mata dan tidak berfikir panjang apabila ditawarkan dengan gaji lumayan termasuk bayaran komisen sehingga 25 peratus setiap bulan.
“Saya ikut kawan berdua, semua orang nak duit banyak, sebab itu saya dan kawan saya boleh terima tawaran itu,” katanya.
Katanya, pada mulanya dia dan rakannya tidak mengesyaki apa-apa dengan tawaran itu sehinggalah mereka rasa tertipu selepas dibawa dan dikurung di dalam sebuah stor di Taichileik, Myanmar.
“Pertama saya tengok jalan tak elok, tak sama macam di Thailand, jalan banyak rosak dan berlubang.
“Saya buka telefon dan sendiri tengok (navigasi GPS),” katanya.
Vincent turut menasihatkan orang ramai agar tidak menjadi mangsa penipuan seperti dirinya, apatah lagi yang menawarkan gaji mahupun imbuhan yang lumayan yang berselindung di sebalik pekerjaan di luar negara.
“Kalau ada kawan baik sekalipun ajak kerja di luar negara jangan terus percaya dan ikut. Jangan percaya dengan janji manis ejen pekerjaan luar negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette