Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berucap pada Perasmian Multaqa Pendakwah Bertauliah Negeri Selangor dan Pelancaran Perkhidmatan Disital Pengurusan Tauliah Mengajar di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 28 OKTOBER 2023.

SHAH ALAM – Pendakwah Bertauliah Negeri Selangor yang merupakan Duta kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), lantaran itu mereka perlu mematuhi undang-undang, arahan, larangan dan perintah pihak berkuasa agama negeri ini.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata, pendakwah tidak boleh mencampur-adukkan isu agama dengan politik kerana ia boleh membangkitkan rasa tidak suka kepada kerajaan sehingga mencetus permusuhan.

Tegas beliau, tanggungjawab menjaga agama Islam bukan sahaja terletak kepada institusi agama sahaja tetapi memerlukan komitmen dan kerjasama individu atau kumpulan Islam termasuk Pendakwah Bertauliah Negeri Selangor.

“Disebabkan itu, para pendakwah hendaklah merujuk kitab-kitab yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan mengajar berdasarkan pegangan ahli sunnah wal jamaah.

“Pendakwah juga perlu memahami realiti kehidupan masyarakat sekeliling dalam merancang program dan pendekatan dakwah,” ketika menyampaikan ucapan perasmian Multaqa Pendakwah Bertauliah Negeri Selangor dan Pelancaran Perkhidmatan Digital Pengurusan Tauliah Mengajar Negeri Selangor.

Abdul Aziz Mohd Yusof berucap pada Perasmian Multaqa Pendakwah Bertauliah Negeri Selangor dan Pelancaran Perkhidmatan Disital Pengurusan Tauliah Mengajar di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 28 OKTOBER 2023.

Tambahnya, jika masyarakat jahil tentang agama Islam, pendakwah hendaklah memberi tumpuan kepada usaha-usaha memperkukuhkan akidah Islam dan mengajar perkara-perkara berkaitan fardu ain.

Justeru, para pendakwah yang ada pada hari ini wajar tingkatkan usaha-usaha dakwah sehabis baik dengan menyantuni golongan ini yang sedang mengalami kehausan kerohanian dan kurang bimbingan agama.

Abdul Aziz turut mengingatkan bahawa para pendakwah harus memelihara perilaku daripada terlibat dengan perkara yang boleh mencemarkan imej agama Islam sehingga menjadi bahan tontonan di media.

“Setiap inci percakapan mahupun perbuatan para pendakwah akan diperhatikan. Justeru para pendakwah hendaklah menunjukan contoh yang terbaik dari semua aspek kehidupan,” tambahnya.

Terdahulu, seramai lebih kurang 600 pendakwah bertauliah seluruh negeri hadir Multaqa Pendakwah Bertauliah Negeri Selangor (PBNS) yang dianjurkan julung kali hasil kerjasama di antara MAIS dan JAIS.

Dalam majlis yang sama, kedua-dua pihak tersebut turut melancarkan Perkhidmatan Digital Pengurusan Tauliah Mengajar Negeri Selangor yang juga dikenali sistem E-Tauliah.

Sistem yang pertama di Malaysia dan Selangor itu merupakan perintis kepada pembangunan pengurusan tauliah secara digital sepenuhnya.

Terdapat sembilan modul dalam sistem berkenaan iaitu Permohonan, Ujian Penilaian, Temu Duga, Mesyuarat Jawatankuasa, Kad Digital Perakuan Tauliah, Aduan Awam, Rekod Kehadiran Berceramah, Carian Awam dan Laporan & Statistik.- MalaysiaGazette