KUALA LUMPUR – Hujan lebat langsung tidak menghalang penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpusu-pusu ke perhimpunan #Demi Najib di Kelab Sultan Sulaiman malam ini.
Dewan di kelab ini juga penuh dengan penyokong pelbagai latar belakang dan ahli parti politik selain kelibat kehadiran golongan mahasiswa di perhimpunan anjuran ‘Team Najib Razak’.
Dianggarkan lebih 500 hadir bersolidariti dalam perjuangan untuk membebaskan bekas Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dengan tema ‘We Stand by You’.
Difahamkan tiga orang anak Najib akan berucap pada perhimpunan iaitu Datuk Mohd Nizar Najib, Datuk Mohd Nazifuddin Najib dan Nooryana Najwa Najib.
Ketiga-tiga anak Najib juga menerima tepukan gemuruh daripada para hadirin apabila sampai ke pekarangan Kelab Sultan Sulaiman sekitar jam 8.15 malam.
Rata-rata begitu teruja untuk bergambar dan bersalam dengan anak-anak Najib malah turut melahirkan perasaan mereka terhadap Najib yang ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas di dapati bersalah menyeleweng dana SRC International.
Majlis bermula sekitar jam 9 malam dengan sebuah tayangan video yang menyebabkan rata-rata penyokong mengalirkan airmata kesedihan.
Selepas ini, ketiga anak-anak Najib dijangka bercakap dengan penyokong yang sudah membanjiri kelab sejak jam 7 malam tadi. -MalaysiaGazette