KUALA LUMPUR – Satu daripada tiga rakyat Malaysia merasa terbeban dengan hutang, walaupun kebanyakan daripada mereka tergolong dalam kalangan yang mempunyai pendapatan yang berpatutan.
Statistik Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) juga menunjukkan ramai yang terpaksa berhutang apabila memerlukan wang di waktu menghadapi kecemasan.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, masalah ini berlaku kerana masih ramai yang telah bergelut dengan masalah kewangan akibat pengurusan kewangan yang lemah sejak usia muda.
Menurut beliau, Kaji Selidik Rangkuman dan Keupayaan Kewangan yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati tahap pengetahuan kewangan rakyat Malaysia meningkat dengan konsisten sejak tahun 2015.
Bagaimanapun, peningkatan pengetahuan dalam kalangan rakyat ini masih tidak seiring dengan sikap dan amalan pengurusan kewangan mereka.
“Rakyat Malaysia masih bersikap ‘jangka pendek’ dalam pengurusan kewangan dan bersikap kurang endah dalam menguruskan risiko kewangan masing-masing termasuklah dalam menghadapi situasi yang tidak dijangka,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Celik Kewangan di Johor.
Menurutnya, hampir separuh rakyat Malaysia sukar menyediakan RM1,000 bagi tujuan kecemasan.
Malah, satu daripada tiga rakyat negara tidak berminat untuk ambil tahu mengenai insurans dan takaful.
Kaji selidik yang dijalankan juga menunjukkan 37% daripada rakyat Malaysia berkongsi kata laluan dan nombor pin mereka kepada keluarga dan rakan.
Dengan dapatan kajian tersebut, Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (FEN) dengan diterajui empat ahlinya iaitu Kementerian Pendidikan Tinggi, BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan AKPK – dan disokong oleh platform HRDCorp iaitu eLATIH, akan melaksanakan program pendidikan kewangan yang komprehensif mensasarkan golongan belia.
Program yang dikenali sebagai FEN PROAKTIF bakal melengkapkan belia dengan kemahiran pengurusan kewangan sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan dan meningkatkan lagi literasi kewangan digital.
Katanya, sembilan universiti telah tampil untuk menerajui inisiatif rintis ini.
“Insya-Allah, program ini diharap dapat dikembangkan kepada lebih banyak institusi pengajian tinggi serta institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk menghasilkan generasi belia yang bijak mengurus kewangan pada masa hadapan.
“Sepanjang Oktober ini, FEN telah menjelajah ke seluruh negara dan mengadakan pelbagai program yang bertujuan untuk menyebarkan kesedaran dan pendidikan kepada semua lapisan umur, daripada golongan belia, profesional sehinggalah kepada warga emas,” ujar Abdul Rasheed.
FEN akan meneruskan momentum ini dan BNM juga sedang merangka mekanisma untuk industri kewangan bergerak dengan lebih strategik dan sistematik di bawah Financial Collective Outreach (FINCO) bagi mencapai impak yang lebih tinggi di peringkat sekolah dan komuniti luar bandar dari segi melatih guru-guru untuk menyampaikan pendidikan kewangan di sekolah secara lebih berkesan dan melaksanakan ukuran keberkesanan pencapaian program sekolah angkat yang dijalankan oleh industri. – MalaysiaGazette