KUALA LUMPUR – Kira-kira 17,000 penerima bantuan sewa rumah Lembaga Zakat Selangor (LZS) disarankan mengemas kini maklumat penyewaan secara dalam talian sebelum 18 November ini bagi membolehkan penyambungan bantuan pada tahun depan.

LZS menerusi kenyataan berkata, penerima yang diperlukan untuk mengemas kini maklumat akan menerima sistem pesanan ringkas (SMS) terlebih dahulu.

“Asnaf yang terlibat akan menerima satu pautan melalui SMS dan perlu mengikuti langkah-langkah yang dinyatakan bagi mengemas kini maklumat pemilik rumah sewa, kadar sewaan semasa dan kaedah pembayaran sewaan,” katanya LZS menerusi kenyataan.

Menurut kenyataan tersebut, asnaf juga boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di portal rasmi melalui pautan
https://sewa2024.carrd.co/ bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Selain itu, sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan, boleh menghubungi Talian Zakat Selangor 1300-88-4343.

Selain itu, penerima juga boleh mengunjungi mana-mana cawangan LZS berhampiran atau mengemukakan maklum balas di portal rasmi LZS di [email protected]. – MalaysiaGazette