chicken ceiling price subsidy
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga ayam secara mendadak susulan langkah penamatan subsidi dan kawalan harga ayam berkuat kuasa Rabu ini.

Malah, bekalan sumber protein itu juga mencukupi buat masa ini dan masa hadapan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketika ini rata-rata peniaga menjual ayam dengan harga jauh lebih rendah daripada harga siling ditetapkan sejak Februari 2022.

“Oleh itu, kalau berlaku pengapungan kita berkeyakinan harganya tidak akan naik mendadak, ia akan stabil, kalau naik mendadak kita akan tanya kenapa, sebab bekalan cukup.

“Yang selalu naik mendadak bila bekalan tidak cukup, sekarang pihak pembekal jamin bahawa bekalan cukup dan kalau tak cukup kita siap sedia bawa dari luar dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media penamatan kawalan harga dan subsidi ayam di Ibu Pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, rasional penamatan subsidi secara pukal adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat pembelian panik dalam tempoh beberapa hari ini.

Ditanya rasional subsidi dan kawalan harga telur masih diteruskan, Mohamad berkata jika subsidi berkenaan ditamatkan, harga telur dijangka naik lebih kurang 10 sen sebiji.

“Tapi penternak jamin mereka juga akan mencukupkan telur pada masa akan datang dan kerajaan akan buat pengumuman dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Mohd Sayuthi Bakar memkalumkan, kerajaan boleh melaksanakan langkah intervensi di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi memastikan ayam dijual pada harga tidak membebankan rakyat.

Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya harga sudah tidak terkawal dan terlalu membebankan, kerajaan boleh melaksanakan kawalan harga semula, sama ada secara bersubsidi atau tidak bersubsidi.

“Itu mungkin langkah akhir, apa-apa pun kita akan pantau terlebih dahulu mulai 1 November, tapi, kita yakin bahawa tidak akan berlaku kenaikan harga ayam secara mendadak.

“Mungkin ada tempat tertentu terutama di pasar raya pengguna boleh mendapatkan harga yang mungkin lebih rendah daripada harga kawalan sebelum ini,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast