Anwar Ibrahim Lee Hsien Loong
Anwar Ibrahim dan Lee Hsien Loong berjabat tangan selepas sidang media bersama di Singapura, hari ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Singapura berkongsi pendirian yang sama berhubung isu konflik terkini Palestin-Israel iaitu menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) agar gencatan senjata dikuatkuasakan di Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, resolusi yang turut disokong majoriti negara-negara lain itu bertujuan membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar ke wilayah bergolak tersebut.

Pada masa yang sama, beliau mengakui bahawa Malaysia mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap Israel kerana konflik tersebut melibatkan isu-isu seperti politik perampasan dan penjajahan.

“Apa yang penting buat masa sekarang adalah kedamaian dan hentikan pembunuhan orang awam termasuk bayi dan wanita.

“Sudah tentu sentimen di Malaysia adalah sangat kuat dan saya telah berhubung dengan ramai pemimpin Arab untuk menyampaikan pendirian kami serta menyokong penyelesaian secara damai,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam sidang media bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong pada Sesi Pemukiman Pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10 di Singapura, hari ini.

Sementara itu, Hsien Loong berpandangan, perkembangan terkini di Asia Barat tidak menjejaskan hubungan dua hala antara negaranya dan Malaysia.

Beliau berkata, situasi Singapura adalah berbeza kerana tidak seperti Malaysia, republik itu mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

“Pada masa yang sama, kita mempunyai hubungan yang baik dengan pihak berkuasa Palestin dan Malaysia mempunyai hubungan yang sangat baik dengan mereka.

“Jadi, situasi diplomatik tidak serupa namun ia bukan sebab yang menimbulkan kesulitan antara Malaysia dan Singapura,” jelasnya.

Hsien Loong turut menegaskan bahawa Singapura telah berulang kali mengecam tragedi kemanusiaan yang berlaku dan berharap kedua-dua pihak yang bertelagah dapat mencapai kemajuan dalam rundingan penyelesaian dua negara. – MalaysiaGazette