Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar hadir pada Persidangan Penguatkuasaan Isu-Isu Semasa Syariah di Hotel Pullman, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 30 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berasa lega dengan perintah mahkamah yang mengarahkan Papagomo memadamkan hantaran berbaur fitnah mengaitkannya di media sosial dalam tempoh 24 jam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, tindakan itu sebagai pengajaran supaya tidak terus terlibat dengan sebarang salah faham melibatkan kenyataan yang dibuat.

“Saya melaksanakan hak saya sebagai individu dalam negara yang mana kalau merasakan dirinya telah difitnah, being defend dan kita ada hak untuk mengemukakan dengan harapan pelaku fitnah itu memberhentikannya.

“Dalam hadis ada sebut bantu saudara kamu yang menzalimi atau dizalimi, jadi bagaimana untuk menghentikan kezaliman itu, dengan cara kita memfailkan tuntutan di mahkamah dan mendapatkan injuksi, hentikan dia daripada terus melakukan perbuatan salah tadi.

“Kalau kita berdiam diri dan tidak melaksanakan hak tersebut selagi itulah dia akan terus memfitnah dan sebagainya dan selama itulah dia akan berdosa. Jadi kita nak bantu dia dari sudut itu (hentikan fitnah),” jelasnya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penguatkuasaan Isu-Isu Semasa Syariah Peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Na’im berjaya mendapat perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur agar Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris memadamkan satu hantaran berbaur fitnah di Facebook blogger berkenaan dalam tempoh 24 jam.

Peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Mohd Na’im selaku plaintif berkata, Pesuruhjaya Kehakiman, Leong Wai Hong membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan menteri itu pada prosiding secara dalam talian hari ini.

Perintah injuksi telah diberikan plaintif menghalang Papagomo menerbitkan, menyiarkan, berkongsi, menerbitkan dan menyiarkan video pada 18 September lepas.

Klip video itu dipercayai telah diambil daripada akaun TikTok ‘@nurhafizulbadrulhisham’ daripada laman Facebook milik defendan dalam apa cara sekali pun.

Mahkamah juga telah menetapkan 7 November depan bagi pendengaran injunksi inter-parte kedua-dua pihak. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mahkamah Tinggi arah Papagomo padam kandungan fitnah Menteri Agama