Wan Muhammad Azri Wan Deris

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan blogger kontroversi, Papagomo atau Wan Muhammad Azri Wan Deris untuk memadam sebuah video klip didakwa berbaur fitnah  mengaitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Difahamkan kandungan video itu berkaitan perilaku seksual dan mahkamah mahu ia dipadamkan dalam tempoh 24 jam.

Peguam mewakili Mohd Naim, Datuk Akberdin Abdul Kadir memberitahu, Pesuruhjaya Kehakiman, Leong Wai Hong telah membenarkan permohonan pihaknya berkaitan perkara itu melalui prosiding atas talian.

Perintah injuksi telah diberikan plaintif menghalang Wan Muhammad Azri menerbitkan, menyiarkan, berkongsi, menerbitkan dan menyiarkan video pada 18 September lepas.

Klip video itu dipercayai telah diambil daripada akaun Tiktok ‘@nurhafizulbadrulhisham’ daripada laman Facebook milik defendan dalam apa cara sekali pun.

Mahkamah juga telah menetapkan 7 November depan bagi pendengaran injunksi inter-parte kedua-dua pihak.

Mohd Naim difahamkan telah memfailkan permohonan itu pada 19 Oktober lalu serta mendakwa hantaran itu turut melibatkan video TikTok berdurasi enam minit 41 saat berhubung Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee memetik ayat al-Quran.

Dakwa beliau, hantaran itu telah mengaitkannya dengan dakwaan seksual.

Kata beliau lagi dalam permohonan itu, hantaran itu seolah-olan menyifatkan beliau bersengkongkol dengan DAP demi kepentingan peribadi dengan mengetepikan kepentingan orang Islam. – MalaysiaGazette