anwar ibrahim lee hsien loong
Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama Lee Hsien Loong di Singapura, hari ini. - Gambar: Ihsan Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu isu perjanjian bekalan air dari Johor ke Singapura yang lama tertangguh diselesaikan segera.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, tindakan menangguhkan rundingan berhubung isu tersebut tidak menguntungkan Malaysia kerana ia menyebabkan harga air yang dijual kepada Singapura kekal terikat pada kadar lama.

Anwar memberitahu, selain meningkatkan harga air, perjanjian baharu itu juga membolehkan projek penyelengggaraan Sungai Johor bagi meningkatkan kapasiti bekalan dilakukan dengan suntikan dana daripada Singapura.

“Malah kita bersetuju supaya Singapura dan Johor boleh menyegerakan kaji selidik untuk melihat keupayaan membesarkan sungai dan pengeluaran kapasiti air di Johor.

“Tapi ini kita akan bincang bersama dengan kerajaan negeri Johor,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong selepas Sesi Pemukiman Pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10 di Singapura, hari ini.

Ketika ini, Singapura membeli air mentah dari Johor pada harga 3 sen setiap 1,000 gelen dan menjual semula air terawat kepada Johor pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Selain itu, Perdana Menteri berharap usaha mengeksport tenaga dari Semenanjung dan Sarawak ke Singapura dapat dilaksanakan segera.

“Ia menguntungkan Semenanjung dan Sarawak, maknanya menguntungkan Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, berhubung isu sempadan Pulau Batu Puteh, Anwar memberitahu, Peguam Negara Malaysia dan Singapura perlu segera mengadakan perbincangan untuk menyelesaikannya agar memberi situasi menang-menang kepada kedua-dua negara.

Beliau turut menyatakan, pentadbirannya juga akan berusaha untuk menyelesaikan segera isu wilayah maklumat penerbangan (FIR) dengan Singapura. – MalaysiaGazette