Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Haji Mohd Ajib Ismail (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar (kanan) pada Persidangan Penguatkuasaan Isu-Isu Semasa Syariah di Hotel Pullman, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 30 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan bagi mewujudkan jawatan kader penasihat undang-undang di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, penubuhan jawatan itu bagi memperkasakan lagi bahagian penguatkuasaan undang-undang syariah dengan lebih efisen.

Selain itu, ia juga bertujuan memberikan nasihat perundangan yang sesuai pada kadar segera agar tugas pengkuasaan lebih lancar berbanding bertemu dengan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi berbincang mengenai perkara terbabit.

“Kadang-kadang JAWI, khususnya bahagian penguatkuasaan banyak kes-kes kontroversi dan memerlukan pandangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC). Setakat ini JAWI tiada lagi (penasihat undang-undang).

“Mereka terpaksa mendapatkan pandanganb daripada Penasihat Undang-Undang di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu agensi lain atau dari AGC.

“Jadi tempoh untuk mendapatkan jawapan itu memakan masa sedangkan dia perlukan jawapan segera. Dalam konteks itu, JAWI berharap jawatan kader boleh diwujudkan supaya sekiranya ada isu yang timbul dia boleh terus beri nasihat kepada JAWI dan JAWI boleh bertindak berdasarkan pandangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Penguatkuasaan Isu-Isu Semasa Syariah Peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Na’im menyasarkan supaya jawatan tersebut dapat diwujudkan selewat-lewatnya pada tahun depan. – MalaysiaGazette