KUANTAN – Seramai 1,600 keluarga B40 berketurunan India di seluruh Malaysia menerima sumbangan sempena Program Memacu Kehidupan Sentuhan Kasih Deepavali 2023.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 100 penerima terpilih daripada negeri ini.
Sumbangan disampaikan dengan kerjasama Pejabat Kebajikan Masyarakat bersama Yayasan Petronas hari ini menyampaikan sumbangan kepada 100 keluarga B40 di Pahang sempena Program Memacu Kehidupan Sentuhan Kasih Deepavali.
“Sumbangan 100 kepada rakyat Pahang kepada tiga daerah di mana kepada 50 keluarga di Kuantan dan masing-masing 25 keluarga di Pekan dan Bentong disampaikan bagi Pantai Timur.
“Setiap keluarga terbabit menerima sumbangan barangan makanan asas seperti beras, minyak masak, gula, garam, tepung, sardin, teh, minuman berasaskan coklat dan malt serta kekacang” katanya selepas menyerahkan sumbangan dalam satu majlis di sini malam ini.
Hadir sama Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, M. Ahmad Shazly Ramli.
Selain itu, Sabariah berkata, setiap keluarga juga turut menerima makanan bertemakan Deepavali iaitu beras basmathi, serbuk beriani masala, tepung campuran kesari, minyak sapi dan serbuk kari.
Sementara itu, Ahmad Shazly pula berkata, sumbangan tersebut merupakan salah satu komitmen berterusan Petronas membantu untuk memberikan kegembiraan kepada golongan kurang berkemampuan sempena musim perayaan.
“Petronas memahami kesukaran yang dihadapi oleh keluarga berpendapatan rendah ekoran kenaikan harga barangan yang berlaku sekarang ini,” katanya.
Justeru, beliau berharap sumbangan yang disampaikan sedikit sebanyak mampu meringankan beban yang mereka hadapi terutamanya pada musim perayaan. – MalaysiaGazette