Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Malaysia telah menerima tiga notis tata tindak (demarche) daripada Amerika Syarikat (AS) ekoran pendirian keras mengecam keganasan rejim Zionis Israel di Gaza serta keengganan melabelkan Hamas sebagai pertubuhan pengganas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dua notis tersebut disampaikan melalui Kedutaan AS di sini kepada Wisma Putra pada 13 dan 30 Oktober.

Beliau turut mengesahkan, notis tata tindak ketiga disampaikan kepada Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ketika dipanggil oleh Jabatan Negara AS berhubung isu yang sama.

“Saya telah jawab dalam majlis di stadium (Axiata Arena) baru-baru ini dan saya tegaskan Malaysia kekal dengan pendirian bebas dan kemanusiaan dan menganggap pencerobohan itu haram dari segi undang-undang dan kaedah anatarabangsa.

“Politik dan kecelaruan yang berlaku ini bukan sekadar bulan lalu, ia telah berlarutan sejak 1948, oleh yang demikian untuk mengetepikan segala keganasan pencerobohan dan penjajahan Israel ke atas wilayah Arab dan Palestin adalah tidak munasabah,” katanya pada sesi waktu pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Suhaizan Kayat (PH-Pulai) berhubung bentuk ancaman yang diterima Malaysia daripada negara-negara Barat yang menyokong Israel susulan pendirian kerajaan terhadap Palestin.

Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Menteri Kewangan menggesa rakyat pelbagai kaum dan agama untuk melihat konflik di Palestin dari sudut sejarah dan kemanusian.

“Jangan jadikan isu ini sebagai isu yang membezakan sikap kita terhadap kemerdekaan.

“Kita bersama menentang penjajahan Inggeris, mengapa kita agak berlembut terhadap penjajahan Israel di Palestin?” soalnya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyatakan beliau menyokong saranan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek agar pelajar-pelajar sekolah digalakkan untuk mengikuti perkembangan yang berlaku di Palestin.

“Tentunya kita ada garis panduan supaya jangan kita seolah-olah menggalakkan sikap keganasan dan kebencian tetapi pencerahan serta kefahaman tentang apa yang berlaku, apa erti kezaliman, penindasan, perampasan,” jelasnya.

Bagi menjawab soalan tambahan Suhaizan berhubung tindakan pihak tertentu yang mempersoalkan ketegasan kerajaan dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin, Anwar berkata, beliau tidak mahu terlibat dalam wacana yang sia-sia.

“Tak usah dipolitikkan, masing-masing ada pendirian, mungkin ada perbezaan kecil dari segi tindakan.

“Tetapi jangan isu ini kita mainkan untuk dapat kepentingan politik,” katanya. – MalaysiaGazette