Mohamad Hasan
Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap siaga untuk digerakkan sebagai pasukan pengaman ke Palestin jika terdapat keputusan atau mandat untuk berbuat demikian.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pasukan pengaman Batalion Malaysia (Malbatt) di bawah mandat Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) juga bersedia sekiranya diperlukan untuk melakukan evakuasi rakyat Malaysia di kawasan konflik.

Beliau turut menjelaskan, keputusan untuk menghantar pasukan pengaman adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Luar, bukan Kementerian Pertahanan.

“Biarpun sehingga kini tiada sebarang keputusan mengenai perkara itu daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kita tetap bersedia malah kementerian ikuti rapat perkembangan di Palestin serta bekerjasama dengan Kementerian Luar,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad menambah, penilaian rapi oleh pelbagai pihak termasuk negara-negara di sekitar wilayah yang bergolak diperlukan sebelum keputusan menghantar tentera ke Palestin dibuat.

Beliau juga akan membawa isu Palestin ke sesi perbincangan Menteri Pertahanan ASEAN minggu depan sebagai topik sampingan bagi mendapatkan pandangan negara-negara serantau.

“Kita hendak dapatkan suara ASEAN kerana kita ada satu pegangan iaitu ASEAN Centrality, sekiranya semua negara ASEAN bersetuju untuk kita hantar tentera ke Palestin di bawah panji PBB,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast