Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari bercakap kepada Malaysia Gazette di Pejabat UMNO Bahagian Shah Alam, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 31 OKTOBER 2023.

SHAH ALAM – Kerajaan perlu mengkaji semula dan tidak terburu-buru untuk menamatkan kawalan harga dan subsidi ayam tanpa menggantikan insentif tertentu yang boleh melegakan rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari khuatir sekiranya diteruskan, ia boleh menyebabkan harga sumber protein itu sama atau lebih mahal daripada ikan.

“Bila kita tarik sesuatu, kena ada satu supplemen, baru rakyat boleh tengok, kita hilang ini, kita dapat ini. Sekarang ini ayam lagi murah daripada ikan. Lepas ini harga ayam dan ikan akan lebih kurang sama tingginya.

“Jangan hanya bagi tahu masa tarik tapi tak bagi sesuatu yang boleh melegakan hati rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette, di pejabat UMNO Bahagian Shah Alam hari ini.

Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberitahu, kerajaan bersetuju subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan berkuatkuasa 1 November ini.

Azhari juga berkata, rakyat sudah terbiasa dengan bantuan kerajaan melalui skim pemberian subsidi dalam pelbagai keperluan dan jika ditarik secara mendadak ia boleh menjejaskan sektor penjualan makanan.

“Suka atau tidak kita sudah terbiasa dengan semuanya disubsidi, minyak, kereta, ayam dan sebagainya, banyak makanan asas kerajaan bantu.

“Kalau dibanding negara luar bahkan di Thailand adakalanya makanan kita lebih murah. Kalau tarik subsidi ini, harga ayam naik, saya takut nanti ia akan memberi kesan kepada industri penjualan makanan,” katanya.

Lebih malang lagi, katanya, Jualan Rahmah yang dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mungkin tidak lagi berjaya jika harga ayam terus meningkat.

“Adakah esok Jualan Rahmah ini akan dapat dipanjangkan. Bila sudah mahal, orang sudah tak boleh buat Rahmah lagi, itu saya risau.

“Saya nak kata setuju tidak, tak setuju pun tak juga, kerajaan ada rasional kenapa nak tarik subsidi ini. Kalau boleh jangan tarik masa rakyat tengah susah sekarang ini, saya takut ia beri kesan buruk kepada pemimpin kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette