Saarani (baju merah) menyempurnakan pembukaan kilan tempat duduk kereta milik EPMB di Tanjung Malim.

KUALA LUMPUR – EP Manufacturing Berhad (EPMB), sebuah syarikat yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia, membuka kilang pengeluaran tempat duduk kereta baharu di Tanjung Malim.

Kilang ini dijangka akan memainkan peranan penting dalam pengeluaran kenderaan akan datang Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd (Proton) untuk ratusan ribu pelanggan di Malaysia dan ASEAN.

Dibangunkan dengan pelaburan lebih daripada RM30 juta, kilang ini terletak hanya 2.5 kilometer dari kilang Proton di Tanjung Malim, di mana dua pemegang saham utama Proton iaitu DRB-Hicom Berhad dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely), sedang membangunkan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV”), sebuah hab global untuk pengeluaran kenderaan tenaga baharu (NEV).

Kilang pengeluaran tempat duduk kereta EPMB mempunyai kapasiti awal untuk mengeluarkan 150,000 set tempat duduk kereta setiap tahun. Ia akan memenuhi keperluan Proton untuk pengeluaran kenderaan yang akan datang.

Pelancaran kilang tersebut disaksikan oleh Datuk Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak dan Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton

Kilang ini merupakan kilang pertama EPMB untuk pengeluaran tempat duduk kereta dan mendapat kerjasama dan pemindahan teknologi dalam ekosistem Proton.

Projek membangunkan kilang ini melibatkan perkongsian teknikal antara EPMB dan pengeluar alat ganti kenderaan China Zhejiang Jujin Automobile & Motor-cycle Accessories Co., Ltd., yang kini membekalkan tempat duduk kereta kepada Geely.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPMB, Ahmad Razlan Mohamed berkata, pembukaan kilang ini adalah langkah kritikal dalam kerjasama EPMB dengan Proton, yang telah berlangsung hampir empat dekad.

“Ini adalah kali pertama EPMB melibatkan diri dalam pengeluaran dan pemasangan tempat duduk, dan kami berasa berbesar hati kerana Proton memberi kami peluang ini.

“Kami komited sepenuhnya kepada kejayaan Proton dalam mencapai sasaran mereka, serta pelan hala tuju Proton di pasaran NEV. Bagi EPMB pula, usaha ini akan membolehkan kami mempelbagaikan perniagaan kami daripada pengeluaran produk logam dan plastik, dan membuka aliran perniagaan baru dengan potensi pertumbuhan yang besar,” katanya. – MalaysiaGazette