Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari bercakap kepada Malaysia Gazette di Pejabat UMNO Bahagian Shah Alam, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 31 OKTOBER 2023.

SHAH ALAM – Umat Islam di negara ini perlu mengkaji semula hasrat untuk memboikot produk yang dipercayai membiayai program ketenteraan Israel dan serangan ke atas Gaza.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari tiada halangan jika hasil jualan itu terbukti disalurkan untuk aktiviti keganasan tentera Israel namun jika tidak ia hanya menyebabkan rakyat kehilangan pekerjaan.

“Kita kena tengok orang Melayu, orang Malaysia yang bekerja itu ramai, kalau mereka runtuh, ia boleh menyebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan.

“Ramai anak muda bekerja penghantaran makanan, limpahan (pekerjaan) itu banyak.

“Kalau kita nak boikot itu pastikanlah betul-betul ia memberi manfaat atau pun dana tersebut disalur untuk membantu Israel menyerang Gaza, itu mungkin saya setuju.

“Kalau kita tak kaji betul-betul, boikot akan beri kesan sebab syarikat francais pun milik orang tempatan dan pekerjanya ramai orang kita,” katanya kepada MalaysiaGazette di pejabat UMNO Bahagian Shah Alam hari ini.

Tambah Azhari, tindakan memboikot produk pro Israel itu boleh menjejaskan industri perkhidmatan penghantaran makanan seperti Grab, Foodpanda dan sebagainya.

“Penghantaran makanan juga akan terkesan kalau semuanya tutup, sebab semua orang boikot, nak hantar apa lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. xkn sikit pon xde kaitan kn? yg dia sponser israel mkn pree tu dh knp?? sah² dhkn ko xnpk ke??? bila boikot je nk salahkn org plk! jgn nk jd hero sgt laaa…byk lg kjr lain

Comments are closed.