Antara 1,300 orang pelajar mengaminkan doa selepas menunaikan solat Dhuha dan Hajat sempena Program Solidariti Palestin di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2 (SKPA2). Foto MOHD ADZLAN, 30 OKTOBER 2023.

Oleh: Rusli Abdul Roni

SEHINGGA artikel ini ditulis, penjajah Zionis Israel masih lagi melancarkan serangan demi serangan yang amat kejam terhadap wilayah Semenanjung Gaza di Palestin. Israel telah mengebom dan menghancurkan bandar Gaza secara konsisten dengan ribuan peluru berpandu dalam serangan udara yang kejam pada setiap hari sejak Ahad, 8 Oktober 2023 yang lepas. Israel telah mengorbankan penduduk awam Gaza tanpa perikemanusiaan, termasuklah kanak-kanak, wanita, warga emas, dan penduduk kurang upaya. Malah, Israel dikatakan telah menggunakan bom fosforus yang diharamkan untuk ‘menghukum’ penduduk Palestin di Gaza.

Dilaporkan bahawa serangan udara dan penghapusan etnik kejam ini telah mengakibatkan gugurnya lebih daripada 3,000 para syuhada’; manakala lebih 13,000 mangsa telah cedera dan mengalami kecacatan kekal, di kalangan penduduk Gaza. Dikhabarkan juga, bilangan kematian dan kecederaan ini akan terus meningkat secara mendadak, kerana masih ramai yang terperangkap dalam runtuhan bangunan yang belum diselamatkan, disebabkan alatan dan jentera yang terhad untuk menjalankan operasi menyelamat. Selain itu, sehingga kini, rejim Zionis Israel masih berterusan menghujani Gaza dengan roket dan peluru berpandu melalui serangan udara mereka yang bertubi-tubi.

Kekejaman rejim Zionis Israel juga telah menghancurkan ribuan prasarana awam dan kerajaan, melibatkan rumah-rumah penduduk, pejabat, kedai, pasar, masjid, gereja, sekolah, dan lain-lain. Malah, hospital yang sepatutnya menjadi kawasan selamat semasa perang juga tidak terkecuali daripada sasaran peluru, bom dan roket Zionis Israel. Tanggal 19 Oktober 2023 yang lalu menyaksikan peluru berpandu Israel menghancurkan Hospital Al-Ahli, mengakibatkan tidak kurang 500 orang menemui syahidnya.

Bukan hanya itu, bekalan elektrik dan air bersih kepada penduduk Semenanjung Gaza juga telah diputuskan oleh Israel. Bantuan makanan, minuman, selimut, pakaian, dan ubat-ubatan daripada beberapa negara telah dihalang dan disekat daripada memasuki Gaza dan terperangkap di sempadan Rafah, Mesir. Penduduk Gaza kini berdepan penderitaan ekonomi, kekurangan makanan, minuman, ubat-ubatan, pakaian, dan tempat tinggal yang sangat getir angkara sekatan ini.

Oleh itu, umat Islam secara individu, masyarakat, komuniti serta organisasi wajiblah berusaha sedaya mungkin untuk melindungi, mempertahan, dan membantu saudara kita yang tertindas dan dizalimi di Palestin, menurut kemampuan dan cara masing-masing. Tanpa mengira status, sama ada para pemimpin atau pun rakyat biasa, kita semua seharusnya terdorong untuk membantu mereka yang sedang menderita di sana.

Para pemimpin negara-negara beragama Islam wajib memberi respon segera sebagai bukti tanggungjawab terhadap keadaan di Palestin kini, dengan mengutuk sekeras-kerasnya dan menekan Israel agar segera menghentikan tindakan kejam mereka. Jika Israel tidak patuh, tindakan perlu diambil melalui saluran undang-undang untuk menghentikan kekejaman ini, termasuklah cadangan menghantar pasukan ketenteraan untuk melindungi, membela, dan menyelamatkan Palestin. Desakan politik dan perundingan permuafakatan antara negara-negara bersekutu perlu segera diwujudkan bagi mencari kaedah penyelesaian terbaik.

Amat malang sekali jika ada dalam kalangan pemimpin dunia yang berdiam diri seribu bahasa tanpa bertindak menghentikan pencerobohan hak Palestin secara terang-terangan oleh rejim Zionis Israel ini. Apatah lagi jika tanpa malu dan segan silu memberikan sokongan secara langsung kepada kebiadaban pengganas Israel, dengan dalih memerangi dan membalas serangan ‘pengganas’ Hamas. Amat memalukan jika ada yang bertindak seperti Amerika Syarikat dan sekutunya, yang kekal dengan sikap dan dasar dwi-standard dalam menangani isu dan konflik Palestin yang berlarutan ini.

Walaupun kita bukanlah seorang pemimpin negara, namun sebagai umat Islam, kita juga bertanggungjawab terhadap isu ini. Maka, bertindaklah dengan segala kaedah yang mampu dan bersesuaian. Umat Islam dan masyarakat dunia bertanggungjawab membangun solidariti jitu bagi memastikan hak dan keselamatan rakyat Palestin direalisasikan.

Penderitaan mereka yang malang di Palestin mesti segera ditamatkan. Adalah wajib bagi kita membantu, melindungi dan menyelamatkan Palestin dengan sekecil cara dan usaha sekali pun, hatta semudah mengucapkan beberapa baris doa untuk mereka seusai solat. Malah semudah menahan diri daripada membeli dan menggunakan produk yang menyokong kekejaman rejim Zionis Israel; menyalurkan bantuan dana yang semampunya; dan menyokong agensi-agensi kemanusiaan yang terlibat dalam menyalurkan bantuan. Ingatlah pesan Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara” (Al-Hujurat:10).

Keimanan merupakan asas keperluan untuk setiap mereka yang bergelar Muslim. Tanpa iman, ajaran Islam pasti kehilangan makna dan nilainya. Dan di antara manifestasi keimanan seseorang adalah melalui ukhuwah Islamiyah (ikatan persaudaraan Islam), dan solidariti sesama ummah. Dengan dorongan keimananlah maka ukhuwah Islamiyah dan solidariti sesama umat Islam terwujud dan menjadi kukuh, bukan sekadar kata-kata manis dan ungkapan semata-mata, tetapi dalam sikap dan tindakan yang jelas dan nyata.

Isu Palestin adalah tragedi kemanusiaan yang merentasi agama, bangsa dan sempadan negara, di mana Israel telah, dengan sengaja, melakukan penghapusan etnik yang amat kejam. Ini merupakan kejahatan besar dan kejam dalam era moden, bertentangan dengan nilai-nilai, hak asasi kemanusiaan dan anti-penjajahan yang digembar-gemburkan oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya di Eropah. Oleh itu, ukhuwah Islamiyah yang terjalin di atas nama keimanan wajib dizahirkan dalam sikap dan tindakan kita yang nyata, sebagai bentuk solidariti terhadap umat Islam lain yang sedang menderita.

Ini termasuklah dengan mencintai mereka, membantu, memerhatikan penderitaan mereka, melindungi dan menjaga keselamatan mereka, seboleh-bolehnya. Inilah manifestasi keimanan dan ukhuwah yang sesungguhnya. Akhirnya, kita berkewajipan memberikan solidariti yang utuh buat saudara-saudara kita di Palestin dan walau di mana jua umat Islam yang dalam kesusahan. Sebagaimana telah diperingatkan oleh
Baginda Nabi SAW: “Sesiapa yang membantu mengatasi kesusahan seorang mukmin daripada pelbagai kesusahan dunia, pasti Allah akan memudahkan salah satu kesusahannya pada Hari Kiamat. Dan sesiapa yang membantu orang yang berada dalam kesulitan, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat, dan sesiapa yang menutupi aib seorang muslim, Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa akan membantu hamba-Nya selama hamba-Nya itu membantu saudaranya.” (HR. Muslim No. 2699, Tirmidzi No. 1425)

Penulis merupakan Pensyarah Jabatan Sains Sosial, Kolej Pendidikan Berterusan,
Universiti Tenaga Nasional

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast