Pengguna dan peniaga di Melaka mahu penguat kuasa agensi berkaitan lebih kerap turun padang bagi memastikan tiada kenaikan melampau harga ayam susulan penamatan subsidi dan kawalan harga berkuat kuasa esok.

MELAKA – Rata-rata pengguna dan peniaga di negeri ini mahu penguat kuasa agensi berkaitan lebih kerap turun padang bagi memastikan tiada kenaikan melampau harga ayam susulan penamatan subsidi dan kawalan harga berkuat kuasa esok.

Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Awam Bachang, di sini hari ini mendapati, mereka menyambut baik langkah kerajaan itu namun perlu disusuli dengan tindakan pemantauan.

Pesara tentera, Sidek Salleh, 60, berkata, walaupun mengakui bimbang harga ayam akan berlaku peningkatan apabila tidak dikawal, namun dia percaya kerajaan mempunyai mekanisme terbaik untuk mengelakkan kenaikan.

Sidek Salleh

“Memang kalau ikutkan pengapungan harga ayam ini sedikit menggusarkanlah sebab harga ayam boleh naik sesuka hati oleh peniaga atau peladang.

“Sebab itu saya harap bila dah tak ada subsidi, pihak berwajib kena kerap turun padang buat pemantauan supaya tidak berlaku kenaikan melampau sampai lebih RM10 sekilogram (kg),” katanya.

Fazliana Samsul Bahari

Pandangan sama dikongsikan suri rumah, Fazliana Samsul Bahari, 41, yang bimbang apabila kaedah harga apungan diwujudkan.

“Sebabnya ayam ini dah jadi macam makanan ruji semua rakyat Malaysia jadi mahal atau murah terpaksalah juga kita beli.

“Saya harap kerajaan dapat pastikan peniaga dapat kekalkan harga jualan seekor ayam tidak lebih RM20 kerana jika lebih tinggi dari itu, ia sudah membebankan pengguna,” katanya.

Ghazali Abu Bakar

Sementara itu, peniaga ayam, Ghazali Abu Bakar, 59, mengakui harga ayam akan kekal seperti biasa susulan jumlah bekalan ayam adalah mencukupi.

“Dulu waktu ada subsidi, harga naik pun sebab kita kurang dapat bekalan tapi kini bekalan sudah pulih malah tidak kedengaran akan berlaku kenaikan harga dalam waktu terdekat.

“Bila di peringkat peladang ada bekalan ayam yang banyak mereka akan turunkan harga sebab itu di peringkat peniaga minggu ini kita boleh jual ayam pada harga RM8.90 sekilogram,” katanya.

Peniaga, Ahmad Bakhtiar Omar, 38, berkata, saingan lebih 20 peniaga di pasar awam itu sahaja sudah membolehkan harga ayam dijual pada kadar yang rendah.

“Sebenarnya, kami peniaga pun bersaing sesama sendiri sebab di pasar ini sahaja ada kira-kira 20 peniaga jual ayam segar dan kalau jual mahal siapa nak beli?.

“Saya pernah jual ayam segar serendah RM8 sekilogram minggu lepas jadi pengguna tidak perlu bimbang kerana bekalan kita cukup,” katanya. – MalaysiaGazette.