KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersembahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ikrar taat setia Dewan Rakyat kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong XVII.
Beliau turut mempersembahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ikrar taat setia Dewan Rakyat kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Anwar yakin kerajaan dan rakyat akan mendapat limpah rahmat dan kesejahteraan yang bertambah daripada pemerintahan seorang raja yang adil, bijaksana dan prihatin terhadap rakyat jelata dan negara.
“Sebagai teras pemerintahan raja berperlembagaan, saya amat berkeyakinan dengan pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku kelak, Malaysia bakal diberkati dengan nikmat perpaduan dan kemakmuran yang berpanjangan.
“Daulat Tuanku. Sembah takzim daripada saya dan seluruh ahli dewan yang mulia ini,” katanya ketika mempersembahkan ucapan tahniah tersebut dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Majlis Raja-raja dalam mesyuarat khas Jumaat lalu telah mengisytiharkan keputusan pemilihan Yang di-Pertuan Agong XVII dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong selama tempoh lima tahun mulai 31 Januari 2024. – MalaysiaGazette