Kok Chin dan Shafruddin meninjau pameran pada Pelancaran Duta Sahsiah Pemangkin Pembentukan Karakter Karamah Insaniah di Nibong Tebal hari ini.

NIBONG TEBAL – Polis Pulau Pinang memperhebatkan kerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) bagi membanteras jenayah dalam kalangan pelajar termasuk gejala buli di negeri itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, muafakat itu penting sebagai usaha mengekang kegiatan buli dan vandalisme dalam kalangan pelajar.

Jelas beliau, selaras dengan hasrat itu pihaknya akan melipat gandakan usaha bagi memastikan kegiatan jenayah dalam kalangan pelajar sekolah dapat dibendung.

“Kita akan sentiasa memberi bantuan daripada pelbagai segi sekiranya diperlukan pihak sekolah.

Khaw Kok Chin.

“Sekiranya ada maklumat berkaitan jenayah daripada pihak JPN kita akan sama-sama cari jalan bagi menyelesaikan kes-kes terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Pelancaran Duta Sahsiah Pemangkin Pembentukan Karakter Karamah Insaniah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah, Sungai Jawi, di sini, hari ini.

Program yang berlangsung serentak di seluruh negara itu dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Profesionalisme, Shafruddin Ali Hussin.

Sementara itu, Shafruddin berkata, pihaknya yakin kerjasama dengan polis itu akan dapat mengurang atau memberhentikan terus kes buli mahupun gangguan seksual yang berlaku di peringkat sekolah membabitkan murid-murid dan guru. – MalaysiaGazette