Vladimir Putin. foto Agensi

KYIV – Presiden Rusia Vladimir Putin mendakwa Amerika Syarikat (AS) dan Barat menggunakan insiden rusuhan terhadap penumpang kapal terbang Israel untuk memecah-belahkan kesatuan rakyat di negara itu.

Putin telah mengumpulkan penasihat tertingginya termasuk menteri pertahanan dan ketua perisik untuk membincangkan apa yang didakwa Kremlin sebagai “cubaan Barat untuk menggunakan peristiwa di Timur Tengah untuk memecahbelahkan masyarakat Rusia”.

Dalam komen yang disiarkan pada malam Isnin, Putin menuduh Ukraine dan Barat telah mencetuskan rusuhan tersebut.

“Peristiwa di Makhachkala malam tadi telah dihasut melalui rangkaian sosial, tidak kurang dari Ukraine, oleh ejen perkhidmatan khas Barat,” kata Putin seperti yang dilaporkan oleh Times of Israel.

Bercakap kepada anggota berpangkat tinggi Majlis Keselamatannya, Putin berkata, terdapat “percubaan” untuk menggugat kestabilan masyarakat Rusia dan turut menuduh AS menyemai ketidakstabilan di Timur Tengah.

“Siapa yang menganjurkan huru-hara yang membawa maut dan siapa yang mendapat manfaat daripadanya hari ini, pada pendapat saya, sudah menjadi jelas… Elit pemerintah AS dan satelit mereka sekarang yang merupakan penerima manfaat utama ketidakstabilan dunia,” kata Putin.

Beliau menambah, penguatkuasaan undang-undang Rusia perlu mengambil “tindakan tegas, tepat pada masanya dan jelas” susulan rusuhan itu untuk melindungi “keharmonian antara agama.”

Sekumpulan masyarakat wilayah majoriti Muslim di Dagestan menyerbu lapangan terbang apabila mengetahui sebuah kapal terbang dari Israel mendarat di situ.

Keganasan Israel yang telah memasuki hari ke-24 di Gaza menyaksikan lebih 8,000 rakyat Palestin maut.

Serangan tidak berperikemanusaain Israel menyebabkan peningkatan kemarahan masyarakat dunia terhadap regim zionis itu yang sebelum ini dilaporkan telah membunuh lebih 200 orang rakyat Palestin sepanjang tahun ini.-Agensi

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast