Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali membuat pemeriksaan dan pemantauan harga ayam susulan penamatan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula berkuat kuasa hari ini ketika di Lotus IOI Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 01 NOVEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Sebanyak 68 premis perniagaan di Semenanjung Malaysia didapati menjual ayam melebihi harga siling yang ditetapkan sebelum ini iaitu RM9.40 sekilogram (kg).

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, harga ayam tertinggi dikesan dijual di Pasar Basah Rompin, Pahang dan Pasar Basah Manir, Terengganu iaitu RM11 per kg.

Manakala harga paling rendah di Mari-Mari Supermarket di Mersing, Johor pada kadar RM6.49 per kg.

“Setakat 1 tengah hari hari ini, sebanyak 1,484 premis di Semenanjung Malaysia yang diperiksa. Daripada jumlah itu sebanyak  4.6 peratus ayam dijual pada harga lebih tinggi dari sebelum ini,” katanya ketika sidang media selepas menjalankan pemeriksaan dan pemantauan harga barang di sebuah pasaraya di sini.

Jelas beliau, penguatkuasa KPDN akan membuat pemantauan berterusan selama sebulan ini bagi memastikan tiada premis yang mengambil kesempatan menaikkan harga ayam secara tidak munasabah.

Mengulas lanjut Armizan berkata, penguatkuasa KPDN juga akan menyiasat peniaga yang didapati menaikkan harga melebihi daripada premis lain.

“Selain meneruskan pemantauan kita memutuskan untuk melihat secara mikro kawasan yang mempunyai jualan (ayam) melebihi harga RM9.40.

“Kita mahu memastikan penguat kuasa kita turun ke premis untuk melihat apa isu sebenar yang dihadapi mereka (peniaga), adakah isu bekalan dan kos operasi sehingga menyebabkan mereka tidak boleh menjual di bawah harga di bawah RM9.40,” katanya selepas meninjau harga ayam di sebuah pasaraya di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga ayam tidak boleh dijual melebihi RM9.40 per kg.

Isnin lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula 1 November 2023.

Penamatan subsidi secara pukal itu dibuat untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi. – MalaysiaGazette