Kem Jabalia mengalami kemusnahan besar selepas di serang Israel.

GAZA CITY – Kegilaan tentera Zionis untuk meragut lebih banyak  nyawa rakyat Palestin seolah-olah tidak dapat ditahan oleh masyarakat antarabangsa.

Israel melakukan serangan tidak berperikemanusiaan terhadap kem Jabalia yang menempatkan pelarian Palestin yang melarikan diri selepas rumah mereka dirampas dan dijadikan penempatan pendatang Yahudi.

Menurut petugas Doctors Without Borders Mohamad Hawjreh, pihaknya kekurangan anggota bagi merawat mangsa yang cedera dan cuba mendapatkan rawatan di Hospital Al-Syifa.

“Selepas serangan itu, ramai orang yang cedera tiba ke hospital Al Shifa di mana pasukan kami membantu menyediakan rawatan perubatan kecemasan.

“Anak-anak kecil tiba di hospital dengan luka dalam dan melecur teruk. Mereka datang tanpa keluarga mereka. Ramai yang menjerit dan meminta ibu bapa mereka. Saya tinggal bersama mereka sehingga kami dapat mencari tempat, kerana hospital penuh dengan pesakit.

“Kami mengutuk episod terbaru keganasan tidak masuk akal ini dan mengulangi gesaan kami untuk gencatan senjata segera untuk mengelakkan lebih banyak kematian di seluruh Gaza. Cukup-cukuplah!” kata Mohamad Hawjreh.

Kem Jabaliya antara penempatan padat pelarian Palestin dan serangan yang dilakukan Israel menyebabkan lebih 50 terbunuh dan beratus yang lain cedera.

Serangan pengeboman itu telah mencetuskan kemarahan di seluruh dunia Arab dan telah dikutuk oleh organisasi kemanusiaan.

Rejim Zionis telah mengakui mereka punca di sebalik serangan itu namum memberi alasan menyasarkan seorang komander berpangkat tinggi Hamas. – Agensi

 

 

 

 

 

 

 

1 Komen

Comments are closed.