Kanak-kanak Palestin berhadapan bukan sahaja kematian tetapi tekanan jiwa.

GENEVA – Semenanjung Gaza kini ibarat tanah perkuburan dan neraka kepada kanak-kanak apabila lebih 3,500 menjadi mangsa pembunuhan Israel sejak tiga minggu lalu.

Jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), James Elder melahirkan kebimbangan angka itu akan terus meningkat kerana Israel kini melakukan pengeboman besar-besaran.

“Kebimbangan kami yang paling teruk mengenai jumlah kanak-kanak yang dilaporkan terbunuh menjadi berpuluh-puluh, kemudian beratus-ratus, dan akhirnya beribu-ribu hanya dalam masa dua minggu.

“Angka-angka ini adalah mengerikan, dilaporkan lebih 3,450 kanak-kanak terbunuh secara mengejutkan dan ini meningkat dengan ketara setiap hari.

“Gaza telah menjadi tanah perkuburan untuk beribu-ribu kanak-kanak. Ia adalah neraka dunia,” katanya dalam kenyataan yang dipaparkan dalam laman web UNICEF.

Elder berkata, selain bom yang boleh membunuh lebih satu juta kanak-kanak terbabit turut berhadapan dengan isu bekalan air bersih.

Beliau mendedahkan kematian kanak-kanak terutamanya bayi akibat dehidrasi adalah ancaman yang semakin meningkat.

Pengeluaran air di Gaza ketika ini hanyalah 5 peratus daripada pengeluaran harian biasa.

“Inilah yang dikatakan oleh salah seorang rakan UNICEF saya, Nesma, yang tinggal dan bekerja di Gaza. Dia mempunyai dua orang anak, Talia yang berusia 4 tahun dan Zain yang berusia 7 tahun.

“Dia sedih melihat kanak-kanak di sekelilingnya berusaha untuk mendapatkan secawan air bersih tetapi tidak dapat menemuinya. Zain terus meminta air biasa.

“Maksudnya ialah air minuman yang selamat, bukan air masin yang merupakan satu-satunya pilihan sekarang dan menyebabkan Zain dan ramai kanak-kanak lain sakit,” kata beliau.

Selain itu kanak-kanak di Gaza juga berhadapan dengan trauma yang akan menghantui sepanjang hidup mereka.

Sebelum serangan 7 Okktober lebih 800,000 kanak-kanak di Gaza iaitu tiga perempat daripada keseluruhan populasi kanak-kanak dikenal pasti memerlukan kesihatan mental dan sokongan psikososial.

Bilangan itu berganda selepas serangan tanpa henti Israel selama tiga minggu.

“Rakan sekerja UNICEF yang sama, Nesma, menjelaskan trauma yang dialaminya anaknya, Talia yang berusia 4 tahun.

“Talia menunjukkan simptom tekanan dan ketakutan yang teruk, dan kini mencederakan diri sendiri, seperti mencabut rambutnya dan menggaru pahanya sehingga berdarah,” katanya.

Elder bertegas, Gaza meUNICEFmerlukan gencatan senjata dengan segera dan laluan masuk ke Gaza mesti dibuka untuk akses bantuan kemanusiaan yang berterusan termasuk air, makanan, bekalan perubatan dan bahan api. – Agensi