Keadaan kem pelarian di Jabaliah selepas di bom Israel.

GAZA CITY – Israel dilaporkan sekali lagi menyekat talian telefon dan internet di Gaza yang ketika ini menyaksikan pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Zionis terhadap penduduk awam Palestin.

Syarikat telekomunikasi Palestin, Paltel dalam perkongsian di Twitter memaklumkan gangguan sepenuhnya komunisi di wilayah yang sedang diserang hebat oleh Israel sebentar tadi.

“Rakyat yang dikasihi di tanah air tercinta, dukacita kami mengumumkan gangguan sepenuhnya semua komunikasi dan perkhidmatan internet dengan Semenanjung Gaza, kerana laluan antarabangsa yang sebelum ini disambung semula terputus semula.

“Semoga Allah melindungi kamu dan melindungi negara kita,” katanya ringkas.

Israel sebelum ini dilaporkan telah menyekat talian telefon dan internet di Gaza hingga mencetuskan kemarahan antarabangsa kerana menyukarkan kerja-kerja kemanusiaan.

Negara Zionis itu bertindak di luar batasan kemanusiaan dengan terbaharu menggugurkan bertan-tan bom di kem yang padat dengan pelarian Palestin di Jabalia.

Serangan terbaharu itu dilaporkan membunuh beratus-ratus rakyat Palestin. Sehingga kini lebih 8,500 orang awam termasuk bayi, kanak-kanan dan wanita terkorban.-Agensi