TEL AVIV – Kematian sembilan orang askar Israel ketika melakukan operasi darat di Gaza merupakan satu tamparan keras kepada negara Zionis itu.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant yang mengeluarkan kenyataan mengenai kematian terbaharu sembilan askarnya di utara Gaza menyifatkan kejadian itu sebagai menyakitkan Israel.
“Kematian askar Israel dalam pertempuran menentang Hamas di Gaza adalah tamparan keras dan menyakitkan. Hati dan fikiran kami bersama keluarga tersayang.
“Pertempuran penting di pedalaman Semenanjung Gaza hebat, malangnya dibayar dengan harga yang mahal.
“Kami bersedia untuk kempen (peperangan) panjang dan kompleks yang memerlukan keberanian, keazaman dan ketabahan – kami akan menang,” kata Gallant di platform X.
Media Israel melaporkan kematian askar mereka ketika menjalankan operasi darat di Gaza selepas sebuah kereta kebal dibedil peluru anti kereta perisai.
Beberapa kematian lain turut dilaporkan selepas tentera Israel bertempur dengan pejuang pembebasan Palestin.
“Kami berazam untuk meneruskan pertempuran ini dan percaya askar kami tahu bagaimana untuk melaksanakan misi, dan menang ini,” kata Gallant. – Agensi