KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah sepatutnya memanfaatkan sidang Dewan Rakyat untuk menyuarakan masalah rakyat dan berhenti mengeluarkan kenyataan ‘merapu’ dan memalukan.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, beliau tidak terkejut kerana ia cerminan kepada akhlak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Lucah dan memalukan. Tapi saya tak hairan sebab semua ahli Perikatan Nasional (PN) terutamanya dari Kedah memang dididik dan pemahaman mereka memang macam itu.
“Ini disebabkan Menteri Besar yang menghalalkan segala caci, carutan dan pelbagai nista selagi mana mereka di pentas politik.
“Cuma kesian dan simpati saya pada orang Langkawi, ambil calon tangkap muat jadi wakil rakyat, bukan orang tempatan, malah saya difahamkan beliau kurang sihat dan pergerakannya sangat terbatas.
“Pesanan saya kepada Ahli Parlimen Langkawi, gunakan pentas Dewan Rakyat untuk suarakan masalah rakyat Langkawi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Suhaimi mengeluarkan kata-kata berbaur seksis terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pada sidang Dewan Rakyat, pada Khamis.
Kenyataan itu dibuat sejurus Kok bangkit mencelah ucapan Suhaimi ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 dengan bertanyakan sama ada boleh datang ke Langkawi dengan memakai seluar pendek.
Sebaliknya Suhaimi menjemput datang ke Langkawi tanpa memakai apa-apa yang merujuk kepada pakaian hingga mencetus situasi gamat dalam Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Shaiful Hazizy yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata, isu feri antara masalah yang perlu diberi perhatian kerana membabitkan masalah rantaian industri pelancongan di Langkawi.
Katanya, isu feri terkait dengan faktor monopoli, kartel dan masalah pasang surut air laut yang mengehadkan bilangan kekerapan operasi feri antara tanah besar ke Langkawi.
“Jumlah sangat terhad ini membawa kepada penurunan masuk pelancong asing yang sememangnya menyebabkan masalah kepada rantaian industri pelancongan di Langkawi.
“Industri perhotelan semakin suram akibat penurunan kemasukan pelancong memberi kesan terutamanya hotel tiga bintang ke bawah.
“Selain itu, turut terjejas pengusaha inap desa sehingga ada gulung tikar atau menunggu masa,” katanya.
Beliau berkata, kenaikan harga barang dan makanan akibat kekurangan pelancong menyebabkan peniaga terpaksa menjual pada harga tinggi.
“Hakikatnya bercuti di Phuket dan Hatyai lagi murah.
“Ahli Parlimen Langkawi kena rajin balik kawasan, buat tindakan segera selesai masalah rakyat, hentikan idea merapu nak bina terowong bawah laut ala MRT dari Alor Setar ke Langkawi,” katanya.
Sebelum ini, Suhaimi yang juga Pengerusi Bersatu Kedah turut mengemukakan cadangan pembinaan MRT dari Alor Setar ke Langkawi untuk menyelesaikan masalah feri yang berlarutan. – MalaysiaGazette