Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti cadangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dan Kanun Keseksaan (Akta 574) dipinda bagi menangani jenayah siber dengan lebih berkesan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, KDN perlu mendapatkan pandangan pelbagai pihak khususnya Jabatan Peguam Negara (AGC) terlebih dahulu.

Menurut beliau, kementeriannya telah mengadakan beberapa sesi libat urus untuk mengambil maklum pandangan bagi memastikan aspek perundangan dikemas kini dalam menangani kes jenayah siber.

“Saya harus akui walaupun kerangka perundangan ketika ini memberi kuasa mencukupi kepada PDRM dalam menangani jenayah siber, namun teknologi maklumat dan komunikasi berkembang begitu cepat.

“Jadi, sentiasa wujud ruang dan keperluan untuk kita tambah baik kerangka perundangan diperlukan dari semasa ke semasa,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Shamsul Anuar menjawab soalan tambahan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) yang meminta KDN menjelaskan sejauh mana pegawai PDRM dilengkapi kemahiran dan teknologi paling terkini termasuk kerangka perundangan bagi memberi kuasa mencukupi dalam usaha menangani jenayah siber.

Beliau menambah, bagi meningkatkan kepakaran, pegawai-pegawai PDRM dihantar untuk mengikuti kursus di dalam dan luar negara supaya mereka mendapat pendedahan berhubung perkembangan jenayah siber.

Shamsul Anuar memberitahu, kaedah penyiasatan jenayah siber juga semakin rumit namun PDRM sentiasa melakukan penambahbaikan dan memperkasakan kemudahan.

“Terutamanya makmal forensik serta forensik digital sebagai peneraju dalam siasatan jenayah siber.

“Usaha ini menelan belanja besar, namun perlu dilakukan supaya jenayah ini dapat ditangani dengan baik, sekali gus dapat selamatkan rakyat,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast