Oleh: Muhammad Syakir Idris
‘PENGGANAS’ merupakan istilah yang sering kali digunakan oleh umum untuk melabel individu atau kumpulan yang melakukan aktiviti keganasan. Namun begitu, istilah ini seakan-akan hanya eksklusif kepada sesetengah pihak sahaja dan bukannya bersifat
universal.
Contohnya, pemerintah Amerika Syarikat (AS) berpendapat ISIS dan Al-Qaeda serta kumpulan-kumpulan pejuang kebebasan Palestin seperti Hamas, Palestine Liberation Front (PLF), Palestine Islamic Jihad (PIJ) dan Hizbullah yang memerangi rejim Zionis sebagai Foreign Terrorist Organization (FTO). Justeru, pengkelasan ini dilihat berat sebelah kerana dasar luar AS yang sangat cenderung kepada Israel.
Buktinya, Presiden Joe Biden didapati berusaha memohon kelulusan bekalan senjata yang bernilai lebih 10 bilion dolar untuk dibekalkan kepada Israel. Jumlah bantuan senjata ini disifatkan dua kali ganda jumlah yang biasanya diberikan oleh AS kepada Israel. Usaha ini jelas menunjukkan kepada dunia bahawa AS secara tidak langsung menyokong tindakan genosid rejim Zionis terhadap rakyat Palestin terutamanya di
wilayah semenanjung Gaza.
Tindakan AS yang menggelar kumpulan-kumpulan tertentu dan pejuang Palestin sebagai kumpulan pengganas adalah bersifat berat sebelah. Ini kerana tindakan sekutu rapatnya iaitu Israel yang sering melanggar undang-undang antarabangsa dan melakukan pencabulan hak asasi manusia secara terbuka terhadap rakyat Palestin tidak pula dianggap sebagai pengganas atau pelaku terrorisme.
Sebagai contoh, lebih daripada 500 nyawa terkorban dalam serangan udara Israel di Hospital Al-Ahli al Arabi yang pada ketika itu dipenuhi pesakit dan orang awam yang sedang mencari tempat perlindungan sekaligus menjadi insiden paling berdarah sejak perang Israel-Hamas tercetus bermula 7 Oktober lalu.
Terdapat pelbagai kesalahan dan pencabulan hak asasi yang dilakukan oleh rejim Zionis ketika melancarkan serangan ke atas Palestin iaitu membedil infrastuktur asas seperti sekolah, hospital, kediaman orang awam, menggunakan bom fosforus putih yang dilarang dalam peperangan, menyerang pihak media, melakukan pembantaian terhadap orang awam (non-combatant) dan sebagainya. Tindakan Israel yang turut menyekat bantuan kemanusiaan dan bekalan makanan, bahan api, air serta bekalan elektrik telah menjejaskan kehidupan rakyat Palestin.
Malangnya, pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan oleh rejim Zionis ini seolah-olah tidak disedari negara-negara yang pro-Israel. Sekaligus, memberikan ‘lampu hijau’ kepada rejim Zionis untuk terus melakukan penindasan terhadap rakyat Palestin tanpa perlu takut digelar ‘pengganas’ atau diboikot oleh dunia. Walaupun sebahagian besar masyarakat dunia mengecam dan memprotes tindakan Israel, namun kecaman tersebut tidak diendahkan oleh Israel bahkan terus melakukan pembantaian terhadap rakyat Palestin.
Oleh yang demikian, bagi memupuk kesedaran dunia terhadap kekejaman rejim Zionis semua pihak perlu terus bertungkus-lumus menyokong usaha pembebasan rakyat Palestin daripada cengkaman Israel melalui apa sahaja platform seperti misi bantuan kemanusiaan, menggerakkan kempen kesedaran menerusi media sosial, menyatakan sokongan terhadap Palestin secara konsisten dan sebagainya. Walaupun usaha tersebut dilihat kecil dan tidak mampu menghentikan isu ini serta-merta, namun usaha tersebut sangat penting bagi memastikan naratif konflik Palestin-Israel sentiasa berpihak kepada rakyat Palestin dan berada atas landasan kebenaran serta tidak dipesongkan oleh media Barat yang pro-Israel.
Serangan balas Israel yang keterlaluan terhadap Hamas juga jelas menunjukkan bahawa istilah ‘pengganas’ atau terrorisme seharusnya digunakan secara inklusif dan bukannya eksklusif. Hal ini kerana, semenjak Hamas melancarkan serangan besar-besaran terhadap wilayah Israel menerusi Operasi Taufan Al-Aqsa sebahagian besar media Barat mengelar pejuang Hamas sebagai militan ataupun pengganas. Akan tetapi gelaran ‘pengganas’ ini tidak pula diberikan kepada Israel walaupun telah terbukti sekian lama melakukan pencabulan hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin.
Disebabkan oleh kedegilan Zionis yang menolak saranan gencatan senjata oleh PBB baru-baru ini dan sengaja melanggar undang-undang antarabangsa dalam konflik Palestin-Israel, maka rejim Zionis Israel wajar dinobatkan sebagai pengganas terbesar di dunia. Manakala, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu wajar digelar penjenayah perang oleh seluruh masyarakat dunia.
Negara-negara yang secara jelas menyokong dan memberikan bantuan kepada Israel juga seharusnya dilabel sebagai sekutu pengganas. Ini kerana, dengan bantuan tersebut Israel berupaya meneruskan kekejaman dan penindasan terhadap rakyat Palestin.
Penulis adalah Pensyarah Hubungan Antarabangsa
Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi,
UiTM Pahang, Kampus Raub