Harga ayam segar yang dijual sekilogram RM7.79 selepas kerajaan mengumumkan penamatan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula berkuat kuasa hari ini ketika di ST Rosyam Mart Sdn Bhd Setiawangsa, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 01 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Hari ini subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan secara rasmi selaras usaha kerajaan menyusun semula struktur subsidi pukal.

Tinjaun MalaysiaGazette di ibu negara mendapati, harga ayam di Pasar Datuk Keramat masih dijual antara RM9.00 hingga RM9.50 sekilogram, mengikut harga siling ditetapkan kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun, pasaraya seperti ST Rosyam Mart  menawarkan harga yang lebih rendah iaitu bermula RM7.79 sen sekilogram.

Peniaga Ayam, Fadli Ramli bercakap kepada media Malaysia Gazette mengenai Hari Pertama Perlaksanaan Pengampungan Harga Ayam berkuat Kuasa Hari ini di Pasar Basah Dato Keramat, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 01 NOVEMBER 2023.

Seorang peniaga ayam, Fadli Ramli, 56, berkata, keputusan untuk menamatkan subsidi dan kawalan harga ayam adalah keputusan yang baik kerana kerajaan berjanji akan menambah bekalan ayam sebanyak 30 peratus sekiranya permintaan atau harga ayam meningkat.

“Kita pegang pada janji kerajaan, bagi saya buat masa ini alhamdulilah, pembeli tidak terasa tertekan sangat dengan harga, kita bagilah dan pembekal pun maklum stok banyak. Jadi jangan risau dengan stok atau nak saiz apa pun ada.

“Kepada pembeli saya syorkan mana kedai yang jual lebih daripada harga siling ditetapkan boikot kedai itu, sebab harga sekarang ini memang murah, ada yang jual RM8, maknanya kalau jual harga siling RM10 atau RM11 jangan beli kedai tu, mengarut sahaja,” katanya.

Peniaga Ayam, Harun Mat bercakap kepada media Malaysia Gazette mengenai Hari Pertama Perlaksanaan Pengampungan Harga Ayam berkuat Kuasa Hari ini di Pasar Basah Dato Keramat, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 01 NOVEMBER 2023.

Seorang lagi peniaga, Harun Mat, 50, berkata, harga jualan masih sama mengikut harga siling kerajaan sebelum ini namun harga mungkin akan meningkat bergantung pada permintaan dan stok daripada pembekal.

“Sebelum ini harga subsidi ini ditarik, kita ada masalah sebab harga siling kerajaan letak RM9.40 kadang-kadang pembekal tidak boleh ikut harga itu, jadi bekalan pula dikurangkan.

“Pembekal memang hantar ikut harga siling kerajaan tapi mereka caj penghantaran sampai RM1.30 sekilogram, sebelum ini tidak caj. Kalau tiada harga subsidi ini saya tak pasti macam mana selepas ini.

“Kalau ditanya harga ayam, saya rasa bulan puasa naik melambung sebabkan permintaan untuk bazar Ramadan dan juga perayaan. Harapan saya agar pihak terlibat jangan terus lepas tangan sebab ini melibatkan orang ramai terutamanya rakyat,” jelasnya.

Pembeli, Rozemi Khalib bercakap kepada media Malaysia Gazette mengenai Hari Pertama Perlaksanaan Pengampungan Harga Ayam berkuat Kuasa Hari ini di ST Rosyam Mart Setiawangsa, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 01 NOVEMBER 2023.

Sementara itu, pembeli yang ditemui, Rozemi Khalib berpandang, rakyat perlu memberi masa kepada kerajaan untuk melihat pengampungan harga ayam ini walaupun ia memberi kesan yang baik pada ekonomi negara.

“Harga subsidi ayam tu sebenarnya membantulah golongan yang kebanyakannya pengguna untuk membeli pada harga yang tertentu ditetapkan kerajaan tapi bila ditamatkan, ia bergantung kepada permintaan dan penawaran ayam itu sendiri, maksudnya harga ditentukan oleh pasaran.

“Saya rasa beri masa pada kerajaan untuk melihat apa jadi pada harga ini, sekiranya meningkat dan membebankan rakyat, kerajaan perlu tengok sebab kenaikkan kos pada hari ini. Seharusnya rakyat tidak terbeban,” ujarnya.

Pembeli,Fauziah Kamil bercakap kepada media Malaysia Gazette mengenai Hari Pertama Perlaksanaan Pengampungan Harga Ayam berkuat Kuasa Hari ini di Pasar Basah Dato Keramat, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 01 NOVEMBER 2023.

Lain pula bagi seorang lagi pembeli, Fauziah Kamil, 50, yang menganggap penamatan harga subsidi ayam itu seperti menindas golongan B40 dan tidak berkemampuan untuk membeli barangan basah.

Katanya, kerajaan perlu memikirkan kesannya kepada golongan tersebut kerana kos sara hidup pada masa ini semakin tinggi, sekali gus mengekang mereka untuk berbelanja lebih buat keluarga yang ramai.

“Ia satu benda menindas orang-orang dekat sini (Keramat), sebab mereka yang beli ayam ,yang beli ayam ini bukan orang yang banyak duit atau sentiasa berduit. Sebelum ini pun pada saya, ayam memang mahal, ada subsidi atau tidak ada subsidi.

“Sedikit demi sedikit kerajaan tarik subsidi untuk rakyat, lama-lama rakyat kelaparan. Minta maaf sebab harga ayam yang dah goreng pun satu ketul RM5 hingga RM7, besarnya alamak besar guli pula tu. Patut kerajaan fikirkan lagi kalau mansuhkan subsidi.,” katanya.

Marketing Asst ST Rosyam Mart Sdn Bhd, Khalid Mustapha bercakap kepada media Malaysia Gazette mengenai Hari Pertama Perlaksanaan Pengampungan Harga Ayam berkuat Kuasa Hari ini di ST Rosyam Mart Setiawangsa, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 01 NOVEMBER 2023.

Dalam pada itu, menurut pegawai pemasaran ST Rosyam Mart, Khalid Mustafa, sebagai pembekal ayam, pihaknya akan memastikan harga ayam di pasaran tidak membebankan rakyat.

Walapun kerajaan telah menamatkan subsidi harga ayam, pihaknya akan memastikan bekalan ayam bersama dengan permintaan sentiasa mencukupi.

“Di ST Rosyam Mart, kami akan mencuba menawarkan harga yang terbaik bagi pengguna di luar sana agar mereka tidak perlu risau dengan harga ayam yang kami tawarkan.

“Pada hari ini, kami menawarkan harga ayam RM7.79 sekilogram dan pengguna jangan panic buying, insya-Allah kami akan cuba yang terbaik untuk tawarkan harga yang terbaik di pasaran kami,” ujarnya.

Pada 30 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan penamatan subsidi harga ayam berkuat kuasa hari ini, selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penamatan subsidi ayam itu dilakukan selepas mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam sudah mulai stabil. – MalaysiaGazette