KUALA LUMPUR –  Setakat ini tiada pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Klawang, Negeri Sembilan terlibat dengan gejala keracunan makanan seperti yang didakwa di laman media sosial, baru-baru ini.

Menurut kenyataan Majlis Amanah Rakyat (MARA), hasil pemeriksaan rapi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan pihak pengurusan MRSM mendapati prestasi kebersihan Dewan Selera yang bertanggungjawab menguruskan penyediaan makanan kepada pelajar di tahap yang baik.

Dalam masa yang sama proses pengendalian makanan juga mematuhi standard yang ditetapkan.

“Tindakan segera telah diambil oleh pihak pengurusan MRSM dengan menghubungi PKD bagi menjalankan siasatan segera ke atas Dewan Selera tersebut.

”Lanjutan daripada pemerhatian tersebut, PKD dan pihak pengurusan MRSM telah memberi beberapa teguran ke atas pengusaha Dewan Selera,” kata MARA.

Sementara itu, MARA memberi jaminan akan sentiasa memastikan perkhidmatan pembekal makanan untuk pelajar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Justeru, MARA memohon supaya ibu bapa tidak  bimbang dengan dakwaan yang tular itu.

“MARA sentiasa prihatin dengan kebajikan dan keselamatan seluruh pelajar di Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk MRSM dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perkara seumpama ini berlaku mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” ujar MARA.

Semalam dilaporkan, seorang ibu kesal apabila anaknya yang merupakan pelajar MRSM Kuala Klawang dihidangkan dengan telur yang sudah rosak.

Menerusi hantaran di Facebook, Amira Alia Faizul berkata, hidangan itu menyebabkan ramai pelajar turut mengalami sakit perut dan cirit birit.

Susulan itu, Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi akaun media sosialnya berkata, pihaknya telah mengarahkan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Mara menyiasat kejadian tersebut. – MalaysiaGazette